Pengikut

Rabu, 17 April 2013

Alangkah Indahnya Jika Pemimpin Menjadi Imam


Belia adalah aset atau harta yang sangat berharga kepada negara. Merekalah tonggak kekuatan negara serta pewaris kepada kepimpinan negara. Bagaimanakah yang dikatakan belia yang mampu memimpin negara?
Mereka adalah belia yang berjaya memimpin diri sendiri. Selain itu, mereka juga mampu menjadi imam dalam jemaah solat, bijak dalam ekonomi, mesra dengan masyarakat, celik dalam bidang politik dan cemerlang dalam menguasai ilmu pengetahuan.
Semua ciri-ciri berikut sebenarnya telah diasuh dan dididik sejak dari zaman kanak-kanak agar mereka menjadi salah seorang belia yang dikatakan mampu memimpin negara.
Mempraktikkan sembahyang berjemaah dalam masyarakat mampu menguatkan sistem organisasi dalam negara. Hal ini dapat dilihat melalui hikmah sembahyang berjemaah, antaranya, merapatkan hubungan rakyat dengan pemimpin dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan penduduk.
Alangkah indahnya jika pemimpin menjadi imam, kerana kekuatan sembahyang berjemaah juga boleh menimbulkan sikap kasih sayang, hormat-menghormati dan menjalinkan persefahaman.
Syarat-syarat untuk menjadi imam sembahyang berjemaah adalah sama dengan syarat untuk menjadi pemimpin dari segi kemampuan menguasai ilmu agama. Seorang imam perlu menguasai bacaan Al-Quran lebih baik daripada makmumnya dan lebih faham perkara berkaitan rukun dan syarak.

Begitu juga pemimpin, seorang pemerintah perlu menguasai ilmu pengetahuan yang mendalam untuk mentadbir negara kerana kuasa menghukum terletak di bahunya. Kejayaan umat Islam sebelum ini adalah kerana mereka mempraktikkan roh sembahyang itu di luar sembahyang.
Dalam sembahyang, mereka merendah diri kepada Allah SWT. Di luar sembahyang, mereka tawaduk, tidak sombong, tidak angkuh atau membesarkan diri.
Mereka sembahyang berjemaah dan patuh kepada imam selagi imam patuh kepada syarat dan rukun. Di luar sembahyang, mereka hidup dalam masyarakat yang harmoni, mentaati pemerintah selagi pemerintah mentaati Allah SWT.
Dalam sembahyang berjemaah juga mereka berbaris dalam satu saf yang tersusun rapi. Di luar sembahyang, mereka berganding bahu dalam organisasi yang teratur untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.
Seseorang yang dianugerahi Allah SWT untuk menjadi pemimpin hendaklah menunjukkan rasa cintanya dalam menyampaikan dakwah Islam kepada bawahannya atau rakyatnya. Dakwah tidak semestinya dilakukan oleh pendakwah, ustaz mahupun tabligh tetapi dakwah juga dipertanggungjawab kepada pemimpin.
Maksud dakwah ialah mengajak individu ataupun masyarakat ke arah yang lebih baik dari setiap sudut ekonomi, politik, sosial, pendidikan, sains dan teknologi serta kesihatan.
Insya-Allah, jika seseorang itu berjaya menjadi imam dalam sembahyang jemaah, maka dia akan berjaya dalam memimpin rakyatnya.

8 Tips Mengelakkan Penangguhan

Masalah bertangguh atau dalam Bahasa Inggerisnya 'procastination' merupakan satu ancaman kronik bagi ramai umat Islam di Malaysia mahupun seluruh dunia.
Oleh kerana terbiasa dengan sikap bertangguh, sesuatu matlamat atau tujuan itu sukar untuk direalisasikan dengan sempurna dan cemerlang.
Berikut kami kongsikan tips untuk mengatasi masalah ini.
Pengurusan Masa: 8 Tips Mengelakkan Penangguhan
1. Kenal pasti sebab penangguhan sesuatu tugasan
Tanya kepada diri anda, adakah anda takut akan gagal dalam tugasan tersebut? Ataupun, anda seorang yang mementingkan kesempurnaan yang hanya akan memulakan kerja setelah semuanya selesai? Ataupun anda seorang yang mudah terganggu dan tidak fokus dalam melangsaikan sesuatu tugasan?
2. Kenal pasti tugasan anda dan bahagikannya kepada tugasan yang lebih kecil
Satu tips motivasi pernah dikongsikan, untuk makan seeokor gajah, caranya adalah dengan memotong daging gajah itu kepada ketulan kecil daging.
3. Letakkan tarikh akhir untuk tugasan anda
Cuba berikan tarikh dan masa untuk sesebuah tugasan. Contohnya, anda meletakkan matlamat untuk menghabiskan membaca sebuah buku dalam masa 1 minggu.
4. Bekerja dalam blok masa yang kecil tetapi kerap daripada bekerja dalam satu blok yang mengambil masa yang panjang
Contohnya apabila belajar, rehatlah sebentar selama 10 minit untuk setiap 1 jam atau 30 minit setelah belajar selama 2 jam.
5. Mulakan dengan tugasan yang mudah dulu
Ini bertujuan untuk memberi momentum kepada anda untuk bergerak. Hal lain seterusnya akan menjadi mudah kerana momentum yang sedia ada.
6.  Mulakan dengan tugasan yang anda rasa sukar
Ini bercanggah dengan tips 6. Manfaat tips ini adalah untuk memberikan psikologi kelegaan kepada anda. Selepas anda berjaya menyelesaikan sesuatu tugasan yang sukar, anda akan merasa sangat selesa kerana merasakan sebuah beban telah berjaya dialih. Tips ini memberi kepuasan kepada diri.
7. Memberitahu orang lain tentang tugasan anda
Contohnya, anda memberitahu kepada orang lain bahawa anda akan menyiapkan sesuatu tugasan dalam tempoh yang ditetapkan. Ini akan menimbulkan rasa tanggungjawab di dalam diri anda untuk melunaskan tugasan tersebut.
8. Elakkan berada di tempat yang mampu mengganggu anda
Contohnya anda boleh memilih untuk belajar di perpustakaan atau tempat lain yang lebih sunyi jika anda bimbang anda akan leka dengan internet.

Roda Kehidupan


Setiap kehidupan manusia itu seumpama roda yang sering berputar. Setiap manusia pasti akan berada di bawah mahupun di atas dalam sesuatu masa yang telah ditetapkan olehNya.
Menjadi lumrah dan fitrah kehidupan manusia apabila mereka berada di atas, mereka sering lupa dan alpa dengan kesenangan dan kenikmatan yang mereka kecapi. Mereka lalai dengan keseronokan yang mereka nikmati sehingga mereka terlupa melakukan tanggungjawab asas mereka kepada Sang Pencipta mereka iaitu Allah SWT seperti tanggungjawab menunaikan solat lima waktu, menunaikan zakat, menginfakkan sebahagian hartanya ke jalan Allah dan sebagainya mengikut tuntutan syariatNya.
Tetapi mereka yang berada di bawah tidak henti–henti bersyukur kepadaNya oleh sebab kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh mereka, walaupun hanya sekelumit nikmat yang mereka nikmati. Begitulah lumrah kehidupan manusia.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama; masa sihat sebelum sakit. Kedua; masa kaya sebelum datang masa sempit (miskin). Ketiga; masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat; masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima; masa hidup sebelum tiba masa mati." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Hadis itu jelas menunjukkan peringatan daripada Nabi SAW kepada umatnya supaya memanfaatkan kelima-lima nikmat yang diberikan oleh Tuhan supaya semasa sedang kita masih sihat, lakukanlah seberapa banyak amal ibadat yang boleh kita lakukan seperti solat lima waktu, bersedekah, berbakti kepada kedua ibu bapa dan sebagainya sebelum kita terlantar sakit dan terbaring tanpa dapat melakukan amal ibadat sebagaimana orang yang sihat dapat melakukannya.
Seterusnya, ialah masa kaya di mana segala kekayaan yang diperolehi oleh manusia itu perlulah dibelanjakan dengan sebaiknya iaitu dengan membelanjakan harta ke jalan Allah sebelum kekayaan itu ditarik oleh Allah SWT dan menjadi miskin akibat sifat tamak dan riak manusia yang tidak bersyukur kepadaNYa.
Selain itu, ketika kita masih mempunyai masa lapang, kita haruslah melakukan aktiviti–aktiviti ukhrawi sebagai bekalan kita di akhirat sebelum kita disibukkan dengan urusan–urusan duniawi. Bukan itu sahaja, ketika usia kita masih lagi muda, manfaatkanlah dunia remaja kita dengan melakukan perkara–perkara yang bermanfaat serta yang diredhai olehNya. Dikhuatiri apabila kita sudah menjengah ke alam tua, kita akan menyesal kerana tidak dapat memanfaatkan usia muda kita dengan sebaiknya.
Kemudian yang terakhir, selagi hayat dikandung badan janganlah kita mensia-siakan kehidupan kita dengan melakukan perkara–perkara yang tidak berfaedah serta perkara yang tidak diredhai olehNya sebelum malaikat maut menjemput kita ke alam barzakh. Ajal dan maut tidak pernah mengenal usia atau umur seseorang manusia itu.
Sungguh indah peringatan yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada umatnya. Sama–samalah kita menghayati dan merenung pengertian hadis ini dengan sebaik-baiknya dalam kehidupan seharian kita.
Akhir sekali, saya suka memetik kata-kata daripada sahabat baik saya iaitu "Apabila orang di atas membaling batu kepada orang di bawah, orang di bawah pasti akan melihat di atas untuk melihat siapa yang melakukannya. Manakala apabila orang di atas membaling wang kepada orang di bawah, orang di bawah pasti akan mengambil wang tersebut tanpa menghiraukan siapakah yang membalingnya". Kata–kata ini menjelaskan apabila kita ditimpa kesusahan, kita pasti akan kembali kepadaNya, tetapi sekiranya kita diberi nikmat kesenangan, kita pasti lalai dan lupa siapa Pemberinya.
Wallahualam.