Setiap kehidupan manusia itu seumpama roda yang sering berputar. Setiap manusia pasti akan berada di bawah mahupun di atas dalam sesuatu masa yang telah ditetapkan olehNya.
Menjadi lumrah dan fitrah kehidupan manusia apabila mereka berada di atas, mereka sering lupa dan alpa dengan kesenangan dan kenikmatan yang mereka kecapi. Mereka lalai dengan keseronokan yang mereka nikmati sehingga mereka terlupa melakukan tanggungjawab asas mereka kepada Sang Pencipta mereka iaitu Allah SWT seperti tanggungjawab menunaikan solat lima waktu, menunaikan zakat, menginfakkan sebahagian hartanya ke jalan Allah dan sebagainya mengikut tuntutan syariatNya.
Tetapi mereka yang berada di bawah tidak henti–henti bersyukur kepadaNya oleh sebab kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh mereka, walaupun hanya sekelumit nikmat yang mereka nikmati. Begitulah lumrah kehidupan manusia.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama; masa sihat sebelum sakit. Kedua; masa kaya sebelum datang masa sempit (miskin). Ketiga; masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat; masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima; masa hidup sebelum tiba masa mati." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Hadis itu jelas menunjukkan peringatan daripada Nabi SAW kepada umatnya supaya memanfaatkan kelima-lima nikmat yang diberikan oleh Tuhan supaya semasa sedang kita masih sihat, lakukanlah seberapa banyak amal ibadat yang boleh kita lakukan seperti solat lima waktu, bersedekah, berbakti kepada kedua ibu bapa dan sebagainya sebelum kita terlantar sakit dan terbaring tanpa dapat melakukan amal ibadat sebagaimana orang yang sihat dapat melakukannya.
Seterusnya, ialah masa kaya di mana segala kekayaan yang diperolehi oleh manusia itu perlulah dibelanjakan dengan sebaiknya iaitu dengan membelanjakan harta ke jalan Allah sebelum kekayaan itu ditarik oleh Allah SWT dan menjadi miskin akibat sifat tamak dan riak manusia yang tidak bersyukur kepadaNYa.
Selain itu, ketika kita masih mempunyai masa lapang, kita haruslah melakukan aktiviti–aktiviti ukhrawi sebagai bekalan kita di akhirat sebelum kita disibukkan dengan urusan–urusan duniawi. Bukan itu sahaja, ketika usia kita masih lagi muda, manfaatkanlah dunia remaja kita dengan melakukan perkara–perkara yang bermanfaat serta yang diredhai olehNya. Dikhuatiri apabila kita sudah menjengah ke alam tua, kita akan menyesal kerana tidak dapat memanfaatkan usia muda kita dengan sebaiknya.
Kemudian yang terakhir, selagi hayat dikandung badan janganlah kita mensia-siakan kehidupan kita dengan melakukan perkara–perkara yang tidak berfaedah serta perkara yang tidak diredhai olehNya sebelum malaikat maut menjemput kita ke alam barzakh. Ajal dan maut tidak pernah mengenal usia atau umur seseorang manusia itu.
Sungguh indah peringatan yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada umatnya. Sama–samalah kita menghayati dan merenung pengertian hadis ini dengan sebaik-baiknya dalam kehidupan seharian kita.
Akhir sekali, saya suka memetik kata-kata daripada sahabat baik saya iaitu "Apabila orang di atas membaling batu kepada orang di bawah, orang di bawah pasti akan melihat di atas untuk melihat siapa yang melakukannya. Manakala apabila orang di atas membaling wang kepada orang di bawah, orang di bawah pasti akan mengambil wang tersebut tanpa menghiraukan siapakah yang membalingnya". Kata–kata ini menjelaskan apabila kita ditimpa kesusahan, kita pasti akan kembali kepadaNya, tetapi sekiranya kita diberi nikmat kesenangan, kita pasti lalai dan lupa siapa Pemberinya.
Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan