Pengikut

Khamis, 18 April 2013

Keluarga Bahagia Tanpa Zina

Istilah "tangkap basah" amat popular pada zaman dahulu. Iaitu apabila pasangan lelaki dan perempuan didapati bersekedudukan dalam rumah, dan mereka kemudiannya ditangkap dan terus dikahwinkan.
Namun, kadang-kadang perbuatan pasangan ini dirancang sendiri oleh pasangan itu setelah usaha mereka untuk berkahwin terhalang atas beberapa sebab.
Tetapi pada waktu ini tangkap basah sudah tidak relevan, kalau adapun tangkapan mereka akan dibicarakan dan kemudiannya dihukum. Hal ini kerana golongan ini suka mengambil peluang melakukan maksiat pada saat orang ramai berehat di rumah masing-masing. Malah waktu penduduk tempatan keluar kerja, pasangan ini balik ke rumah sama ada rumah lelaki atau wanita. Di sini mereka bebas sama seperti suami isteri.
Kebanyakan pasangan terbabit mengambil peluang ini bagi memuaskan nafsu masing-masing walaupun mereka tahu perbuatan itu satu dosa. Dalam fikiran mereka sebanyak manapun dosa mereka, masih ada peluang diampunkan Allah. Jadi, lakukan dosa dahulu nanti bertaubat kemudian.
Mereka sanggup melakukan dosa kerana yakin tidak dapat dikesan oleh penduduk. Mereka ini tidak pernah berniat untuk berkahwin segera malah apabila wanitanya mengandung, lelaki itu akan melarikan diri kecuali setelah dipaksa oleh bapa wanita tersebut. Tidak kurang juga yang bertindak menggugurkan kandungan sebelum kandungan itu membesar.
Larangan Berkhawat
Persoalannya mengapa mereka sanggup melakukan itu semua sedang mereka tahu perbuatan dilarang oleh Islam. Rasulullah s.a.w. dalam hadis daripada Ukbah bin Amir menyebut bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Maka jangan sekali-kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya kerana yang ketiga ialah syaitan." (Riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)
Mungkin mereka tidak tahu mengapa Rasulullah melarang lelaki berkhalwat dengan wanita. Mungkin pada mereka larangan itu menyekat kebebasan hak asasi mereka. Sebab itu ada yang berkata, pertemuan itu hanya sekadar bualan biasa, tidak lebih daripada itu. Tetapi sebenarnya Rasulullah sendiri sudah memberi jawapan yang jelas, iaitu tatkala mereka berdua-duaan akan ada syaitan antara keduanya.
Maknanya apa? Syaitan yang sifatnya suka menggoda, akan meniupkan rangsangan seks wanita dan kemudiannya lelaki. Jika rangsangan syaitan itu lambat laun akan berhasil dan ketika itu pasti berlaku perzinaan. Tetapi jika antara mereka ada orang ketiga tentu pasangan itu akan berasa malu untuk melakukan zina. Oleh sebab itu bagi menyelamatkan keadaan Rasulullah menyarankan pasangan itu berteman orang yang ketiga seperti sabdanya yang bermaksud:
"Tidak halal bagi seseorang lelaki berkhalwat dengan seseorang wanita yang tidak halal buatnya kecuali ditemani mahram (mahram-orang yang diharamkan nikah/ kahwin dengannya. Maka orang atau pihak ketiga yang ada bersama-sama ketika mereka berdua berkhalwat itu adalah syaitan". (sila rujuk bukuFiqh As-Sunnah oleh Syed Sabiq).
Sebenarnya larangan berdua-duaan di tempat yang mencurigakan dan sebaliknya digalakkan bertiga dalam sesuatu pertemuan adalah untuk merealisasikan perintah Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." (Surah al-Israa' :32)
Jelas dalam ayat di atas Allah tidak melarang berzina secara langsung tetapi melarang umat Islam menghampir perbuatan zina. Bayangkan kalau menghampiri zina tidak berlaku, bolehkah berlaku perzinaan. Sudah pasti tidak berlaku zina. Jadi, larangan menghampiri zina itu merujuk kepada larangan berkhalwat, pergaulan bebas dan seumpamanya.
Tidak Takut Dengan Denda
Umat Islam yang memahami perintah Allah dalam al-Quran dan larangan Rasul dalam hadis di atas, pasti tidak tergamak untuk melakukan dosa khalwat. Malah dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, kesalahan khalwat dijelaskan bahawa; lelaki atau perempuan yang didapati berada bersama seorang atau lebih yang bukan mahramnya di mana-mana tempat terselindung dalam keadaan boleh menimbulkan syak mereka sedang melakukan perbuatan tidak bermoral.
Manakala hukuman kesalahan jenayah khalwat ini diperuntukkan dalam undang-undang jenayah syariah pada Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, bila sabit kesalahannya, dendanya tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Melihat kepada perkembangan terkini, ternyata umat Islam belum terdidik dengan perintah Allah dan larangan Rasulullah. Malah tidak gentar dengan peruntukan undang-undang Syariah di atas. Apakah umat Islam kini rela dihukum? Atau apakah sikap masyarakat Islam kini seperti mencabar peruntukan undang-undang itu?
Umat Islam tidak takut dengan ancaman undang-undang itu kerana pada mereka kalau kena denda, tidak sukar untuk membayarnya. Dan kalau kena penjara, tidaklah lama bahkan akan dihidangkan dengan makanan yang terkawal lagi baik.
Jelas, penjenayah ini bukan sahaja tidak takut kepada undang-undang dan hukumannya malah tidak takut kepada Allah dan hukuman-Nya. Mereka juga tidak malu kepada Rasulullah dan jiran-jirannya. Ya, kalau begitu keadaannya, boleh jadi mereka ini tidak pernah sujud menyembah Allah.
Hargailah Diri & Maruah
Menyedari keadaan ini, suka saya mengingatkan wanita yang terlibat juga mereka yang berniat untuk terlibat dalam aktiviti khalwat, hargailah diri anda. Tubuh wanita adalah ciptaan Allah yang termahal, maka tidak wajar diberikan percuma kepada seseorang lelaki. Ya, wajarkah barang yang mahal milik anda diberikan kepada seseorang begitu sahaja? Tentu tidakkan?
Sebenarnya dalam kes khalwat ini, wanita tersebut telah menggadaikan maruahnya kepada lelaki tanpa mendapat apa-apa manfaat kecuali mengandung anak luar nikah. Tetapi tahukah anda, seorang lelaki dalam keadaan ini boleh menyelamatkan diri dan meninggalkan anda bersama kandungan yang memalukan.
Jadi, apa faedahnya wanita menggadaikan maruahnya hanya kerana keseronokan sementara. Sebenarnya walaupun wanita itu tidak mengandung anak luar nikah, hati wanita itu tetap menderita dan hidup dalam keadaan ketakutan. Walaupun secara zahirnya mereka rasa seronok melakukan dosa dan maksiat tetapi hakikatnya hati mereka diburu rasa takut.
Percayalah ketika melakukan melakukan kesalahan itu, hati mereka sentiasa rasa bersalah pada orang kampung dan mereka takut kalau dikesan oleh mereka. Mereka juga takut kalau-kalau ditangkap pihak berkuasa agama. Pada masa yang sama, mereka takut kalau-kalau diketahui ibu bapa masing-masing.
Bayangkan kalau setiap hari mereka dalam keadaan itu, di manakah kebahagiaan mereka. Kenapa memilih kebahagiaan sementara sedangkan kebahagiaan sebenar boleh diperoleh dengan berkahwin? Tetapi bagaimana kalau wanita itu mengandung anak luar nikah, di mana hendak disimpankan rasa malu kepada jiran, keluarga terutama ibu bapa.
Sesungguhnya ibu bapa dalam keadaan ini akan lebih terasa malu jika anak yang dididiknya sehingga dewasa mencemarkan nama baik mereka. Malah akan terlebih malu kalau anaknya dibiarkan mengandung tanpa suami. Tetapi bolehkah si anak itu membayangkan akan kesedihan dan kekecewaan ibu bapanya?
Percayalah kalau semua ini dapat dirasakan oleh wanita sebelum atau semasa hendak melakukan dosa dan maksiat itu, pasti kenikmatan sementara itu boleh ditinggalkan dengan senang hati. Apatah lagi kalau dia rasa takut kepada Allah dan hukuman yang bakal diterima nanti.
Peranan Komuniti
Gejala bersekedudukan atau khalwat ini boleh dibasmi dalam sesuatu komuniti jika semua pihak dapat bertindak sebagai pencegah. Di sini, masyarakat tempatan perlu peka dengan jiran mereka dan mengenal pasti siapa jiran mereka itu. Seseorang yang baik akan mengambil tahu status jirannya supaya dengan itu dapat mengesan mana jiran yang melakukan dosa dan maksiat sama ada pada waktu malam atau siang.
Perhatian jiran ini akan menjadikan lelaki dan perempuan yang berniat untuk melakukan dosa dan maksiat terhalang. Hal ini kerana sikap masyarakat setempat itu telah menjadi mata dan telinga masjid dan kerajaan.
Didik Anak-Anak Dengan Iman
Oleh sebab itu ibu bapa perlulah sentiasa mengingatkan anak-anak mereka sama ada lelaki mahu perempuan agar menjauhi dosa dan maksiat. Ingatkan anak perempuan bahawa sentuhan lelaki boleh menyebabkan mereka mengandung. Ingatkan juga, jika mereka mengandung bukan sahaja dia akan malu tetapi ibu bapa juga malu. Dan ingatkan juga anak lelaki jika mereka merosakan maruah wanita, hakikatnya dia telah merosakkan maruah ibu bapanya sendiri.
Inilah asas didikan iman yang boleh diberikan kepada anak-anak. Jiwa mereka perlu disuburkan dengan rasa takut kepada Allah, gerun kepada neraka-Nya dan cintakan syurga-Nya. Jika semua ini dapat direalisasikan diri diri semua umat Islam pasti mereka akan menjaga maruah masing-masing.
Ketika itu umat Islam akan berada dalam masyarakat harmoni, yang tidak diselubungi gejala maksiat. Kalau di rumah boleh rasa bahagia, dalam masyarakat juga boleh rasa bahagia, dan pastinya dalam negara turut rasa bahagia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan