[Keadilan Salahuddin Al-Ayubi, pembebas Masjidil Aqsa]
Jurnal | Dr. Mohd Roslan Mohd Nor
Pencerobohan Palestin oleh Tentera Salib benar-benar mencabar
Salahuddin al-Ayubi, apatah lagi setelah khabar mengenai kekejaman Tentera
Salib terhadap Muslim telah tersebar. Ia membakar semangat jihad Salahuddin
untuk membebaskan bumi Palestin daripada tangan Tentera Salib. Pembebasan bumi
Palestin daripada kuasa penjajahan menjadi keutamaan kepadanya memandangkan
bumi tersebut sebagai salah satu daripada tempat suci bagi umat Islam.
Bahā’ al-Dīn ibn Shaddād, seorang penulis biografi mencatatkan
kata-kata Salahuddin bahawa,
“Ketika Tuhan mengizinkan saya untuk menakluki Mesir, saya
menyedari bahawa Dia juga menginginkan saya menakluki kawasan pantai Syria,
kerana Dia telah meletakkan ilham ini dalam fikiran saya.”
Realitinya, ungkapan tersebut bukanlah suatu perkara yang baru,
kerana kebanyakan Muslim berhasrat sama seperti beliau. Namun dalam keadaan ini
Salahuddin kelihatan lebih bertanggungjawab berbanding Muslim lain dalam
membebaskan Palestin dan kawasan sekitarnya. Matlamat beliau akhirnya dapat
direalisasikan setelah beliau berpeluang menjadi pengganti kepada Nūr al-Dīn
Zangī yang telah meninggal dunia di Damsyik pada 569H/1174. Penggantian itu
berlaku setelah beliau mendapat banyak persetujuan daripada para panglima,
pemimpin agama dan juga para pemikir Islam.
Misi Salahuddin dan tenteranya melawan Perang Salib dalam
membebaskan Palestin daripada cengkaman pihak musuh telah menghasilkan satu
kemenangan yang besar. Sebelum menakluki Palestin, Salahuddin telah berjaya
membebaskan pelbagai wilayah sekitarnya. Perang Hittin jelas mencerminkan budi
pekerti Salahuddin yang mulia terhadap para panglima Tentera Salib yang berjaya
ditangkapnya. Antaranya ialah Raja Guy dari Lusignan. Suatu ketika, Salahuddin
meminta Raja Guy dan Raynald dari Chatillon, kedua- duanya di bawa ke khemah
menghadapnya dan meminta Raja Guy duduk di sebelahnya. Melihat tetamunya yang
kehausan, Salahuddin menghulurkan minuman kepada Raja Guy. Serentak itu,
Salahuddin berkata, “Kami tidak memberikan kepadanya air untuk
menyelamatkannya.” Walaupun begitu, mengikut tradisi Arab, sikap ramah kepada
tetamu dengan memberikan minuman kepada mereka adalah sebagai tanda nyawanya
dalam keadaan selamat.
Salahuddin kemudian bergerak ke arah Raynald lalu membunuhnya
dengan pedang bagi memenuhi janjinya disebabkan oleh tindakan Raynald yang
bertindak menyerang kumpulan kafilah yang tidak bersenjata sewaktu dalam tempoh
gencatan senjata. Lebih buruk lagi, penghinaan Raynald terhadap Nabi Muhammad
s.a.w. benar-benar menguji kesabaran Salahuddin, menyebabkan dia berjanji tidak
akan memaafkan serta akan membunuh Raynald jika berjaya ditangkap. Guy yang
menyaksikan kejadian tersebut berasa gementar kerana merasakan saat
pembunuhannya bakal tiba selepas Raynald dibunuh Salahuddin, namun ditenangkan
oleh Salahuddin dengan berkata, “Bukan suatu kebiasaan bagi raja-raja membunuh
raja-raja yang lain, tetapi dia telah melampaui batas.”
Salahuddin akhirnya mengeluarkan perintah kepada para tenteranya
supaya melayan para tetamunya dengan baik, malah Raja Guy dihantar pulang ke
Damsyik dengan rasa hormat.
Layanan yang berbeza antara Raja Guy dan Raynald secara tidak
langsung telah membentuk pola yang berbeza dalam mengurus berdasarkan kepada
keadaan. Hanya yang melampaui batas sahaja akan diambil tindakan, sebaliknya
musuh yang tidak melampaui batas akan dimaafkan oleh Salahuddin dan layak
menerima layanan yang mulia daripada beliau. Ini boleh dikatakan sama dengan
tindakan Umar al-Khattab ketika beliau memberikan jaminan kepada non- Muslim di
Islamicjerusalem, melalui perjanjian yang dikenali sebagai al-‘Uhdah
al-‘Umariyyah.
Dalam misi menakluki Palestin, Salahuddin tidak menyerang Tentera
Salib secara membabi buta bagi menjaga hubungan kedua- dua belah pihak,
lebih-lebih lagi bagi memelihara kesucian al-Aqsa. Ini juga demi mengelak
daripada mana-mana bahagian bangunan rosak. Beliau mengambil inisiatif
mencontohi cara Umar al-Khattab ketika beliau berusaha menakluki kawasan
tersebut pada zaman awal Islam. Justeru, Salahuddin bertindak menghantar utusan
kepada pihak Tentera Salib agar menyerah kalah, namun permintaan Salahuddin ditolak.
Setelah dikepung 40 hari oleh tentera Salahuddin, akhirnya kemenangan berpihak
kepada Salahuddin.
‘Imād al-Dīn al-Iṣfahānī melaporkan seramai lebih daripada 100,000
orang Kristian termasuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak telah ditawan oleh
tentera Islam. Sikap pemaaf Salahuddin terhadap masyarakat Kristian telah
menyebabkan beliau tidak menghukum bunuh mereka berbanding yang dilakukan oleh
Tentera Salib terhadap umat Islam sebelum ini. Bahkan mereka semua dibebaskan
dengan syarat membayar wang tebusan diri. 10 dinar untuk lelaki, 5 dinar untuk
perempuan, dan 2 dinar untuk kanak-kanak. 7000 daripada orang-orang miskin juga
dibebaskan dengan jumlah pembayaran sebanyak 30,000 dinar sekaligus. Namun,
sekiranya ada antara mereka tidak mampu membayar wang tebusan diri tersebut,
secara automatik mereka akan terus berada dalam tahanan.
Pendekatan Salahuddin tersebut secara tidak langsung dapat mengelak
pertentangan di Islamicjerusalem tanpa berlakunya pertempuran atau pertumpahan
darah yang lebih dahsyat. Ia sekaligus mencerminkan kebaikan Islam itu sendiri
di mata pihak musuh. Sesungguhnya diri Salahuddin itu dihiasi dengan akhlak
Islam yang indah. Pada pendapat penulis, cara beliau melayan tawanan Kristian
itu sendiri cukup menggambarkan perwatakannya sebagai seorang yang pemaaf dan
bersikap belas kasihan, sekalipun dengan musuh Islam itu sendiri. Dari sudut
teori dan praktikalnya, layanan yang baik terhadap golongan bukan Islam dan
bersikap belas kasihan terhadap mereka adalah semata-mata bagi menunjukkan
kebaikan dan sikap pemaaf Islam itu, yang mana kebaikan itu mengatasi segala
keburukan dan perkara-perkara negatif yang lain. Matlamatnya adalah untuk
menyedarkan masyarakat Kristian khasnya serta penganut agama lain umumnya,
mengenai Islam sebagai agama yang mengasihi manusia yang lain serta bersifat
kemanusiaan.
Maher Y. Abu Munshar dalam bukunya Islamic Jerusalem and Its
Christians mengulas bahawa dalam menentukan bentuk layananterhadap masyarakat
Kristian, Salahuddin telah membuat pembahagian kepada dua kelompok utama.
Pertama, pihak Tentera Salib yang telah membuat pelbagai kekejaman
ke atas masyarakat Arab serta Yahudi. Kedua, penduduk peribumi Kristian di
Palestin yang terdiri daripada kaum Arab dan bukan Arab yang mengikut aliran
gereja Greek Ortodoks.
Selaku penduduk peribumi Palestin, mereka meminta hak untuk terus
mendiami bumi Palestin. Namun, Salahuddin telah mengenakan syarat supaya mereka
membayar wang tebusan diri dulu kemudian barulah dibenarkan untuk tinggal di
Palestin dengan menerima pemerintahan Islam serta dikehendaki membayar jizyah.
Secara umum, sistem jizyah diwujudkan sebagai pulangan kepada
keamanan dan perlindungan yang diberikan kepada golongan bukan Muslim.
Sehubungan itu, sistem jizyah bukan satu bebanan kepada bukan Muslim, malah
merupakan satu keringanan yang besar berbanding sistem cukai yang dilaksanakan
oleh pemerintahan Rom Timur sebelumnya. Walaupun demikian, golongan yang tidak
berkemampuan diberi pertimbangan dan mereka boleh dibebaskan tanpa syarat.
Justeru, masyarakat bukan Islam, seperti Kristian Ortodoks dan sebagainya, yang
mahu tinggal di bawah pemerintahan Islam terus dibiarkan kekal mendiami bumi
Palestin. Mereka diberikan ruang pilihan yang bebas untuk mengamalkan ritual
keagamaan masing-masing yang selama ini telah menjadi sebahagian daripada
kehidupan mereka.
Cerminan akhlak mulia Salahuddin itu dapat dibuktikan lagi dengan
layanannya terhadap masyarakat Kristian yang telah menebus diri mereka untuk
bebas. Ini berlaku apabila beliau telah membekalkan sejumlah wang serta haiwan
tunggangan setelah melihat para tebusan membawa ibu bapa dan tetangga mereka
yang sudah berumur. Salahuddin juga memerintahkan tenteranya supaya mengiringi
mereka bagi memastikan mereka ini selamat tiba ke destinasi yang diingini. Dalam
hal ini, Geoffrey Regan mengatakan bahawa,
Para pekerja Salahuddin yang tidak mampu melihat penderitaan para
pelarian itu telah meminta para pekerja yang lain turun dari haiwan tunggangan,
lantas menetapkan bahawa rombongan Kristian yang sudah berumur supayamenaiki
tunggangan mereka, malah tentera Salahuddin sendiri yang memegang anak-anak
Kristian dengan tangan mereka.
Ibn al-Athīr dan al-Iṣfahānī adalah dua daripada ahli sejarah yang
merekodkan sikap ramah serta belas kasihan Salahuddin terhadap perempuan yang
mulia, dengan membenarkan mereka meninggalkan Palestin tanpa sebarang wang
tebusan.
Sebagai contoh, Permaisuri Sybil, seorang permaisuri Byzantine,
yang telah menjadi ahli agama dan menubuhkan sebuah tempat peribadatan dan
mempunyai ramai pengikut di bawahnya, telah diberikan jaminan keselamatan oleh
Salahuddin. Bahkan permintaannya untuk meninggalkan tempat tersebut bersama
para pengikutnya telah diterima oleh Salahuddun dengan belas kasihannya tanpa
sebarang syarat. Malah, beliau telah membawa Permaisuri Sybil bertemu dengan
suaminya yang dipenjarakan di Nablus dan membenarkannya berada di sisi
suaminya.
Runciman dalam bukunya A History of the Crusades menyatakan bahawa
ramai daripada kaum perempuan Kristian yang menebus diri mereka datang menghadap
Salahuddin sebelum mereka keluar meninggalkan kota tersebut dalam keadaan
dukacita. Ada di antara mereka berkata,
Wahai Sultan, sebagaimana kamu lihat, kami akan pergi meninggalkan
tempat ini sekarang. Kami sebagai para isteri, ibu-ibu, anak-anak perempuan
kepada para tahanan. Kami akan meninggalkan tempat ini selama-lamanya dan
meninggalkan para tahanan yang menjadi pelindung kepada kami. Jika kamu
membunuh mereka, kehidupan kami akan musnah. Jika kamu membebaskan mereka, kamu
telah mengurangkan kesakitan dan kesusahan kami kerana kami tidak dapat hidup
tanpa adanya penjaga.
Mendengar masalah tersebut, Salahuddin bertindak membebaskan anak
remaja kepada ibunya, suami kepada isterinya dan bapa kepada anaknya. Malah
mereka diberikan sejumlah wang daripada perbendaharaan sesuai dengan keperluan
mereka. Sementara, para tahanan yang masih berbaki pula dijamin oleh beliau
bahawa mereka akan dilayan sebaik mungkin dan penuh belas kasihan. Menurut
Runciman, layanan Salahuddin kepada masyarakat Kristianbegitu bertentangan
dengan perbuatan Tentera Salib semasa penaklukan Perang Salib Pertama.
Selain itu, ‘Abdullah Nasih ‘Ulwan dalam bukunya Salah al- Din
al-Ayyubi (Saladin), turut menyatakan pendapat daripada William B. Stevenson
bahawa ramai daripada masyarakat Kristian yang meninggalkan Palestin tanpa
membayar terlebih dahulu wang tebusan. Pendapat ini turut disokong oleh Stanley
Lane Poole yang turut menyatakan hal yang sama, bahkan menyatakan bahawa
Salahuddin membenarkan para pendeta dan masyarakat Kristian yang berharta
membawa bersama-sama harta peribadi ketika meninggalkan Palestin. Al-Iṣfahānī
menyatakan bahawa Heraclius dan para paderinya dikatakan meninggalkan kota
tersebut dengan perhiasan emas dan perak yang penuh sarat, selain daripada satu
gerabak perhiasan dan barang-barang berharga daripada Gereja Suci Sepulchre.
Sebaliknya, orang Muslim akan membeli barangan yang mereka tidak ingini. Jelas
di sini bahawa Salahuddin tidak membenarkan Muslim yang lain melanggar hak
asasi manusia dengan cara tidak membenarkan mereka merampas barangan hak milik
peribadi bukan Muslim, namun dikehendaki membelinya sekiranya berkeinginan.
Di samping itu, permintaan saudaranya, al-Mālik al-‘Ādil supaya
membebaskan 1,000 orang masyarakat Kristian yang terdiri daripada orang-orang
yang kurang upaya serta miskin turut dipenuhi oleh Salahuddin. Bahkan, beliau
bukan sekadar membebaskan sejumlah 1,000 orang, tetapi sebanyak 10,000 orang
kesemuanya, termasuk tahanan yang sudah berusia. Tindakan ini jelas
menggambarkan sikap dan layanan baiknya terhadap masyarakat Kristian.
Apabila diamati dari sudut keagamaan, kelihatannya Salahuddin
mengamalkan toleransi yang tinggi terhadap masyarakat Kristian. Beliau sesekali
tidak menghalang penganut Kristian daripada melaksanakan ritual keagamaan
mereka, bahkan tidak mengubah aspek demografi mereka. Atas fakta ini, Karen
Amstrongberpendapat bahawa,
“Islam tidak berusaha untuk membina masjid di mana-mana bahagian
Kristian di Baitulmuqaddis.”
Dapat dilihat di sini bahawa pemerintah Islam sesekali tidak masuk
campur dalam hal keagamaan orang yang bukan beragama Islam. Di bawah
pemerintahan Islam jugalah menyaksikan penganut Kristian terus melakukan
penziarahan tempat suci mereka di Palestin. John Wilkinson menguatkan lagi
pandangan ini apabila beliau mengatakan bahawa ziarah orang-orang Kristian ke
Baitulmuqaddis pada waktu tersebut “tidak terganggu.” Bahkan, gereja atau
sinagoga iaitu rumah ibadat penganut Yahudi terus kekal terpelihara. Dengan
kata lain, tempat peribadatan mereka dijamin tidak akan dicerobohi.
Keadaan ini telah menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang tidak
berusaha untuk menghentikan hak penganut bukan Islam.
Semasa berlaku pengepungan ke atas Acre, seorang ibu daripada
Tentera Salib mengadu kehilangan anaknya apabila seorang Muslim dikatakan
memasuki khemahnya dan menculik anaknya yang berusia 3 bulan. Kemudian, beliau
mengambil keputusan berjumpa dengan Salahuddin atas saranan daripada putera
raja yang menyatakan bahawa Salahuddin sememangnya memiliki hati budi yang
baik. Beliau berkata, “Pergi dan beliau akan membawa anak kamu kembali.”
Mendengar aduan perempuan Kristian tersebut, Salahuddin
memerintahkan agar anaknya segera dicari. Akhirnya setelah pencarian dilakukan,
didapati anak kecil tersebut telah dijual di pasar. Justeru, Salahuddin
memerintahkan supaya sejumlah wang diberikan kepada pembeli terbabit agar anak
tersebut dapat diserahkan kembali kepada ibunya. Salahuddin dikatakan tidak
berganjak selagi anak tersebut tidak dibawa kepada ibunya. Setelah bayi
tersebut diserahkan kembali kepada ibunya, perempuan Kristian itu berdoa, lalu
dibawa pulang ke khemahnya dengan menaiki kuda. Berdasarkan kisah ini, dapatlah
dikatakan bahawa Salahuddin sememangnya seorang kesateria yangmemiliki hati
yang begitu baik dan mengambil berat terhadap segala masalah rakyatnya,
sekalipun dia itu seorang yang beragama Kristian.
Hubungan antara Muslim dan Kristian jelas kelihatan setelah
berlakunya Perang Salib Ketiga (1189-1892). Kejatuhan Palestin ke tangan umat
Islam membuatkan penganut Kristian tidak berpuas hati kerana bagi mereka,
Palestin adalah hak milik mereka yang tidak boleh dikongsi sama sekali dengan
umat agama lain seperti yang telah dijelaskan di atas. Walaupun Raja Richard
memenangi sebahagian daripada wilayah di Palestin, namun beliau gagal
mendapatkan kembali kota Baitulmuqaddis. Kemuncak peperangan ini akhirnya
berakhir dengan Perjanjian Damai Ramallah yang ditandatangani pada 2 September
1192. Perjanjian tersebut secara tidak langsung menandakan berlakunya
komunikasi antara dua pemimpin. Namun demikian, perjanjian tersebut terpaksa
ditangguhkan buat seketika kerana Raja Richard telah jatuh sakit secara
tiba-tiba.
Secara tersiratnya, terdapat perilaku yang mulia oleh Salahuddin
terhadap musuhnya yang beragama Kristian iaitu Raja Richard apabila beliau
telah memberikan layanan baik yang semaksimum mungkin kepada Raja Richard
setelah mengetahui musuhnya itu jatuh sakit ketika di Jaffa. Raja Richard telah
mendapat bantuan perubatan dan sekaligus mendapat makanan yang diidamkannya
daripada Salahuddin. Kesinambungan daripada peristiwa terbabit, ternyata budi
pekerti Salahuddin telah memberi kesan yang mendalam kepada Raja Richard
sehingga beliau berkata kepada salah seorang pengikut Salahuddin,
Tolong sampaikan salamku kepada sultan dan katakan kepadanya,
“Demi Tuhan! hendaklah dia mengabulkan permintaanku untuk berdamai
kerana semua ini harus segera berakhir. Negeriku di seberang lautan sudah
hancur. Justeru,peperangan ini sesekali tidak akan mendatangkan kebaikan, baik
untuk kami, mahupun untuk kalian!”
Berdasarkan kepada pernyataan Raja Richard tersebut dapat difahami
bahawa layanan baik Salahuddin terhadap musuhnya telah menguatkan lagi tekad
musuhnya untuk berdamai seperti yang telah dinyatakan di atas.
Menariknya, selepas sahaja perjanjian tersebut ditandatangani kedua
belah pihak, Salahuddin telah membuat satu pengisytiharan,
Dengar semua! Keamanan telah diatur. Sesiapa dari tempatnya
berhasrat untuk mengunjungi tempat kami, maka dia boleh berbuat demikian.
Barang siapa dari tempat kami berkeinginan mahu mengunjungi tempat kalian, maka
kami boleh melakukannya juga. Laluan rombongan ziarah dari Syria juga telah
dibuka sekarang.
Daripada jaminan keamanan tersebut, dapat dibuat kesimpulan bahawa
penganut Kristian terus diberi kebebasan oleh Salahuddin, iaitu dalam bentuk
kebebasan untuk bergerak sebebas kaum Muslim. Salahuddin sendiri telah menghulurkan
bantuan dalam bentuk pengawalan untuk mengawal para rombongan ziarah sehingga
mereka kembali semula ke Jaffa, bahkan memerintahkan tenteranya supaya
menyediakan makanan dan melayani mereka dengan penuh kebaikan.
Di samping itu, masyarakat Kristian yang menetap di Palestin juga
mempunyai hak untuk memiliki rumah, kedai dan tanah. Pintu turut terbuka untuk
orang Kristian memasuki lapangan pekerjaan tanpa sebarang bentuk diskriminasi.
Matlamat daripada tindakan Salahuddin tersebut, tidak lain dan tidak bukan,
adalah semata-mata bagi menjaga keamanan bumi Palestin kerana ia bukan sahaja
hak milik umat Islam, namun dikongsi bersama antara dua lagi kepercayaan yang
lain iaitu Kristian dan Yahudi. Seperti yang telah ditegaskan oleh Salahuddin
dalam sesi perundingan bersama orang-orang yang terkemuka ketika membincangkan
usaha-usaha perdamaian di antara dua pihak,
Palestin [Islamicjerusalem] adalah milik kami, sama juga milik
kamu. Bagi kami, ia lebih bermakna berbanding kamu kerana di sana Nabi kami
melakukan Israk Mikraj. Janganlah berharap bahawa kami akan menyerahkan tempat
ini kepada kamu. Penaklukan ke atasnya suatu ketika dahulu adalah suatu perkara
yang tidak terduga, berpunca daripada kelemahan umat Islam ketika itu...”
Perjanjian perdamaian ini juga dapatlah dikatakan sebagai tanda
pengiktirafan Raja Richard kepada keseluruhan kepimpinan dan kedaulatan Salahuddin.
Justeru seiring dengan perjanjian damai tersebut, Raja Richard telah
menyerahkan anak saudara lelakinya untuk dijaga oleh Salahuddin. Beliau juga
menaruh kepercayaan yang cukup tinggi terhadap Salahuddin bagi menjaga gereja
di Palestin, lantaran keyakinannya yang cukup tinggi bahawa Salahuddin adalah
seorang yang berpegang teguh terhadap perjanjian yang telah dimeterai.
Jelas, penganut Kristian di Palestin sememangnya berada dalam
keadaan yang selesa semasa di bawah pemerintahan Salahuddin. Pembukaan kembali
Palestin oleh Muslim di bawah Salahuddin ini telah memperlihatkan satu dimensi
baru yang menyegarkan apabila layanan istimewa dalam segenap aspek tidak hanya
terhenti sekadar umat Islam sahaja, malah termasuk kalangan yang bukan Islam.
Ia seperti yang pernah dilakukan oleh Umar al-Khattab yang pernah memberi
jaminan keselamatan kepada golongan bukan Islam di Islamicjerusalem. Oleh itu,
pendapat yang diutarakan oleh Stanley Lane Poole harus disokong kerana ada
kewajaran dalam pendapat beliau yang memuji Salahuddin. Pandangan beliau adalah
berdasarkan kepada layanan Salahuddin terhadap masyarakat Kristian seperti
dibincangkan di atas. Menurutnya,
Rahsia di sebalik kehebatan Salahuddin terpancar pada kecintaan
rakyatnya. Sedangkan pihak lain cuba menggapainya dengan menakut-nakutkan,
melalui kekerasan dan kedudukan, beliau menyempurnakan hasratnya dengan
kebaikan.
Seharusnya, nasihat Salahuddin kepada anaknya mengenai sumber
kekuatan yang terdapat pada diri beliau, harus dijadikan pegangan oleh pemerintah
Muslim era kini mahupun akan datang. Ini terutama dalam misi menubuhkan sebuah
kerajaan dan pemerintahan yang benar-benar berdaulat dan diterima ramai. Kata
Salahuddin,
Cuba memenangi hati rakyat, dan meneliti kemakmuran mereka,
lantaran itu menjamin kegembiraan mereka... Saya menjadi hebat seumpama ini
kerana saya telah berjaya memenangi hati rakyat dengan kelembutan dan
kebaikan.”
Oleh yang demikian, sikap yang ditunjukkan oleh Salahuddin terhadap
masyarakat Islam dan bukan Islam, terutamanya masyarakat Kristian, boleh
digambarkan sebagai suatu tindakan yang matang. Ia sekaligus menjadi faktor
wujudnya keamanan di Palestin pada waktu tersebut seperti yang telah
digambarkan di atas.
Kesimpulan:
Salahuddin al-Ayubi telah memberi ruang yang terbuka kepada
golongan Kristian dan jaminan keselamatan kepada mereka. Jelas, ia menunjukkan
bahawa kewujudan pelbagai latar agama di kalangan rakyat tidak menjadi
penghalang kepada pemerintahan Islam untuk membangunkan wilayahnya. Golongan
Kristian di Islamicjerusalem dan kota Baitulmuqaddis telah mendapat layanan
yang baik dari seorang pemimpin Muslim yang telah berjaya membebaskan wilayah
tersebut buat kali yang kedua. Keadilan yang diberikan itu sungguh berharga
dalam hal hubungan antara Muslim dan Kristian. Keadilan harus mewarnai
kehidupan seharian, tanpa mengira agama dan bangsa. Justeru, dalam hal ini,
Salahuddin sesekali tidak mengamalkan dasar mengecualikan orang lain, namun
menangani mereka dengan keadilan. Ini patut menjadi contoh teladan kepada
pemimpin, ilmuwan dan masyarakat Islam seluruhnya.
Bibliografi:
Abu Munshar, Maher Y. (2007), Islamic Jerusalem and Its Christians:
A History of Tolerance and Tensions, London: IB Tauris.
Ameer ‘Ali, Syed (1934), A Short History of the Saracen, London:
Macmillan.
Amstrong, Karen (1996), A History of Jerusalem: One City, Three
Faiths, London: HarperCollins Publishers.
Asming Yalawae et al. (2007), “Akhlak Warisan Rasulullah s.a.w
Membawa Kemuliaan Umat”, Jurnal Usuluddin, Bil. 26, Disember.
El-Awaisi, Abd al-Fattah (2008), Meneroka Identiti Islamic
Jerusalem, (terj.) F. A. Rahman et al., Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.
Gil, Moshe (1997), A History of Palestine 634-1099, (terj.) Ethel
Broido, Cambridge: Cambridge University Press.
Glubb, Faris (1999), “Jerusalem: the Central Point in Saladin’s
Life”, Journal of Islamic Jerusalem Studies, Vol. 2.
Ibn al-Athīr, Abū al-Ḥasan ‘Alī al-Shaybānī (1998), al-Kāmil fī al-
Tārīkh, Jil. 9, Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Ibn al-‘Ibrī, Ghrighuriyus al-Maltī (1992), Tārīkh Mukhtaṣar
al-Duwal, Beirut: Dār al-Mashriq.
Ibn al-Jawzī, Abū al-Faraj (1995), al-Muntaẓam fī Tārīkh al-Mulūk
wa al-Umam, Jil. 17, Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Ibn Shaddād, Bahā’ al-Dīn (2000), al-Nawādir al-Sulṭāniyyah wa al-
Maḥāsin al-Yūsufiyyah, Kaherah: Dar al-Manar.
__________ (2001), The Rare and Exellent History of Saladin or al-
Nawādir al-Sulṭāniyya wa’l-Maḥāsin al-Yūsufiyya, (trans.) Donald S. Richards,
Hampshire: Ashgate.
Al-Iṣfahānī, ‘Imād al-Dīn (t.t.), Kitāb al-Fatḥ al-Qussī fī al-Fatḥ
al- Qudsī, t.tp.: t.p.
Lane Poole, Stanley (1985), Saladin, London: Darf Publishers.
Mohd Roslan Mohd Nor (2003), “Tebus Baitulmaqdis”, Utusan Malaysia,
30 Mei.
__________ (2006), “Li al-‘Alamin: the Concept and Implementation
of Inclusive Vision in IslamicJerusalem”, Palestine Internationalist, Vol. 1,
No. 3, March.
__________ (2011), “Protecting Non-Muslim: Its Implementation
during Early Muslim Rule of Islamic Jerusalem”, al-Bayan: Jurnal al-Quran and
al-Hadith 9, h. 209-222.
Nicole, David (1986), Saladin and the Saracens, Great Britain: Reed
International Books Ltd.
Regan, Geoffrey (1987), Saladin and the Fall of Jerusalem, London:
Croom Helm.
Runciman, Steven (1952), A History of the Crusades: the Kingdom of
Jerusalem and the Frankish East (1100- 1187), Vol. 2, Cambridge: Cambridge
University Press.
Sami bin Abdullah (2009), Atlas Perang Salib: Mengungkap Peristiwa
Berdarah Abad Pertengahan, Jakarta: Penerbit Almahira. 96
Stubbs, William (2000), al-Ḥarb al-Ṣalibiyyah al-Thālithah (Salah
al- Din and Richard), (terj.) Ḥabashī Ḥasan, Kaherah: al-Ḥay’ah al- Miṣriyyah
al-‘Āmmah li al-Kitāb, Jil. 1.
Al-Tel, Othman I. (2003), The First Islamic Conquest of Aelia
(Islamic Jerusalem): A Critical Analytical Study of the Early Islamic
Historical and Narratives and Sources, Dundee: al-Maktoum Institute Academic
Press.
Tibawi, Abdul Latif (1980), Jerusalem the Key to World Peace,
London: Islamic Council of Europe.
‘Ulwan, Abdullah Nasih (2004), Salah al-Din al-Ayyubi (Saladin):
Hero of the Battle of Hittin and Liberator of Jerusalem from the Crusaders
(532-589H/1137-1193M), (terj.) Khalifa Ezzad Abu Zeid, Kaherah: Dār al-Salām.
Wilkinson, John (1990), “Jerusalem under Rome and Byzantine 63BC-
637AD”, dalam Jerusalem in History, ed. K. J. Asali, New York: Olive Branch
Press.
Suntingan daripada jurnal yang bertajuk SALAHUDDIN AL-AYUBI DALAM
MENANGANI MASYARAKAT KRISTIAN DI ISLAMICJERUSALEM DAN PALESTIN tulisan :
1) Mohd Roslan Mohd Nor, PhD, adalah Pensyarah Kanan dan Ketua
Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
E-mel: m_roslan@um.edu.my.
2) Nor Shakila Mohd Noor adalah calon ijazah tinggi Jabatan Sejarah
dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Sumber : Palestine Centre of Excellence - PACE
#loveSEJATI #ANewHope
Tiada ulasan:
Catat Ulasan