Pengikut

Khamis, 24 Disember 2020

Surat buat temanku

 

بسم الله الرحمن الرحيم

25 Disember 2020

10 Jamadil awal 1442

Assalamualaikum WBT,

Kehadapan sahabatku, yang kini dalam pengetahuanku berada di Shah Alam, Malaysia. Semoga ketika membaca surat ini, engkau berada dalam keadaan tersenyum, sihat dan sejahtera. Kerana Allah telah menghadirkan kembali rasa sayang serta KasihNya padamu. Rasa yang sama ketika kita bersama dahulu, menjalani hari-hari penuh lelah, merangkai senyum dalam keletihan. Namun, kita menghimpunkannya dalam suasana penuh cinta.

            Sahabat, sekali lagi aku menyapamu, untuk sebuah rasa rinduku padamu. Apa khabarmu hari ini? Dari tempat aku menulis sepucuk surat ini, aku selalu berdoa dalam segenap hatiku, agar engkau di sana tetap teguh dalam keimanan, dan Allah tak pernah berhenti mencurahkan RahmatNya padamu.

Pertama.

Ini adalah surat pertama seingat aku pernah dituliskan kepadamu. Jelas aku tidak tahu apakah aku pernah menulis apa pun surat sebelum kita berpisah di Kuala Lumpur. Meskipun jika ini bukan yang pertama bagi ku, kemungkinan besar ini yang terakhir. Pernahkah kau terfikir mengapa Allah mempertemukan kita? Adakah semua kenangan indah yang kita alami terjadi begitu saja. Aku tidak berkuasa membendung butiran cinta bila merenungi semua ini. Di sepertiga malam, kadang-kadang ku curahkan segenap rinduku pada Sang Pemberi Cinta, kerana aku tahu padaNya bermulalah rasa rinduku padamu. dan tak lupa sebait doa ku lantunkan agar kau selalu dalam naunganNya.

Kedua.

Terakhir kali ketika kita berpisah, aku benar-benar tidak berdaya melepaskanmu, kenangan-kenangan manis yang telah lama kita jalin, rasanya terlalu erat untuk diuraikan. Tapi senyummu ketika itu, mengisyaratkan agar aku tetap tabah. Hingga kini apabila jiwaku terasa sunyi wajah ceriamu selalu hadir. Seolah engkau benar-benar ada di sampingku. Mengingatkanku bisikanmu tanpa jemu tentang matlamat, pengurusan kewangan dan kerjaya masa depan yang perlu dirancang dengan bijak dan teliti. Kau menghiburku dengan cerita-cerita indah dari syurga, tentang orang-orang yang selalu dikasihi Allah. Hari ini aku tersedar bahawa engkaulah lebih arif dalam hal tersebut.

Ketiga.

Suatu ketika cahaya senja menaungiku di bibir pantai St. Kilda, Melbourne aku termenung sambil menatap riak-riak air laut yang tenang. Membiarkan angin dengan lembutnya menerpa wajahku. Mengusikku, kala itu sedang terkenang dirimu. Dan butiran jernih pun kembali mengalir, sesekali riak-riak air laut menggodaku, menyentuh kakiku tak beralas. Aku ingin kau tahu bahawa aku tidak takut, untuk ditinggal atau dilupakan. Tentang kehilangan diri ku selama ini, adalah kerana aku mengalami konflik dalaman dan luaranku yang infiniti. Aku cuba memahami makna diri tentang hikmah nasib dan nasab keluargaku, titik dan koordinat sejarahku, ternyata apa yang ku fikirkan selama ini adalah sia-sia. Itulah kebarangkalian punca aku memendam rasa dan kerap gagal berdepan realiti dan cabaran baharu selama ini berbanding teman-temanmu yang lebih tabah dan syukur dalam perjuangan hidup.

Keempat.

Maka di setiap malam aku mendengar sayup sebutan nama teman-teman dari jauh. Khair, Sufian, Lutfi, Razif, Aqiel, Najib, Nabil, Safwan, Zarin, Muslim, Amiruddin dan teman-teman seperjuangan yang lain. Dan aku hanya cuba mengulanginya berulang kali dalam doa. Dan semuanya muncul kembali dalam mimpiku berulang kali. Hanya perkara-perkara kecil yang dikenang. Seperti ketika matahari terbenam di sekeliling Tasik Universiti Malaya pada masa yang tepat, tepat sebelum itu tergelincir ke bawah Bukit Botak. Menaiki motosikal Lagenda berulang-alik dari KK9 ke RO dan RM. Berhari raya Aidil Adha mengembara sehingga ke sempadan Thailand jauhnya. Dan aku ingat rasa makanan yang sering engkau belanjakan kepadaku. Aku tak pernah terfikir akan sangat merindui momen-momen itu.

Kelima.

Sahabatku, yang jiwamu selalu terpancar cahaya keimanan Jika boleh memilih, aku ingin selalu setia bersamamu, mendengarkan cerita-ceritamu, atau menghiburmu kala kau sedang berduka. Tetapi, aku mengerti bahawa Sang Khaliq telah menyiapkan senario terindahnya untuk kita. Sehingga tak ku risaukan lagi apapun takdir Tuhan nanti. Boleh mengenalmu sahaja sudah sangat bersyukur. Bersyukur Allah menghadirkanmu pada sepotong mozek hidupku yang singkat ini. Sepotong kenangan indah bersamamu, mampu mencerahkan setiap langkahku.

Keenam,

Sepucuk surat yang engkau genggam dalam renungan ini, telah ku tulis dengan getaran hati sejak mengembara ke sebuah benua baru. Setiap untaian katanya adalah kuntum–kuntum rinduku. Aku menulisnya dengan perasaan yang sama saat kita mengucapkan janji-janji suci, bahawa kita akan bertemu kembali di tempat terindah. Kini, saat kita tidak bersama lagi. Hanya janji suci itulah menguatkan aku, mengiringi langkahku dalam merangkai cita-cita. Temuilah semula daku di sebuah gedung ilmu di Bandar Baru Bangi apabila tiba hujung tahun ini.

Ketujuh,

Semenjak kita berpisah, aku telah mengenal banyak orang, bertemu berbagai rupa manusia. Namun, tak kutemukan satupun perasaan yang sama saat bersamamu. Ada kehangatan jiwa yang ku rasakan, apabila kita ketawa dengan kecuaian kita sendiri, kau telah mengajari aku bagaimana cara agar kita tetap tersenyum, meski takdir terasa pahit. Maka aku teringat engkau. Aku teringat kau pertama kali datang ke dalam kelas Arab Ustaz Akhbar mewakili pembentangan untuk majmuah 6, hanya remaja yang lucu, yang bahkan tidak boleh mengingati kuncinya sendiri. Tetapi dari saat engkau melangkah keluar dari Nilam Puri ke rumah Ustaz Yahya Othman, menjadi pemimpin PMIUM di UM dan membantu ramai rakan-rakan sepengajian. Aku tahu bahawa aku akan mengikutimu ke mana sahaja. Begitu juga kau akan mengikuti aku ke mana sahaja. Dan aku mesti membalas solidariti itu, kami semua mesti bersama engkau. Jika aku boleh melakukannya lagi, aku akan cuba. Sebaliknya setiap kali mahu mengikuti jejakmu aku merasakan tidak layak kerana hidup melarat dan terbuang di jalanan. Aku tidak akan mengubah apa pun kerana ceteknya ilmu yang ku pelajari dalam kehidupan.

Kelapan,

Harapan aku pada engkau ialah, bila kau melihat ke belakang, bertahun-tahun dari sekarang (2020), adalah engkau akan tetap sama. Masa depan berada di tangan kau sekarang, Ehwan. Dan aku tahu engkau akan sentiasa berusaha mencari jalan untuk melakukan apa yang benar dan mengelakkan daripada apa yang salah. Setahuku engkau selalu optimis. Jagalah pertalian hati semua teman-teman Ribbiyun, APIUM dan UM untuk ku. Dan jagalah dirimu sebaiknya.

            Ku harap juga engkau selalu dalam kebaikan, jagalah selalu solatmu, tilawahmu, serta lisanmu. Sehingga para malaikat menyaksikan engkau sebagai hambaNya yang sempurna dalam keimanan. Sahabatku, ku harap pula agar engkau selalu menjaga akhlakmu di manapun engkau berada, serta kepada siapapun, kepada orang yang muda ataupun tua, bahkan kepada orang-orang yang membencimu sekalipun. Begitu juga diriku, ku mohon agar engkau selalu mendoakanku. Agar kita bisa menjadi peribadi yang menawan kerana akhlak dan ilmu.

Kesembilan,

Wahai sahabatku, di kesempatan ini aku ingin memohon maaf andai tidak memenuhi permintaanmu, undanganmu atau hutang jasamu. Dengan penuh rasa gembira khabarmu, aku mengucapkan “Selamat Pengantin Baru”. Baraka Allahu lakuma wa baraka alikuma wa jamaah baina kuma fii khair, semoga berkat Allah dilimpahkan kepadamu serta menghimpun kalian berdua dalam keadaan yang bahagia. Kedua-dua perkara pada isterimu itu hendaklah dijaga kerana jasadnya itu perlukan perlindungan dan penjagaan daripadamu manakala bagi roh itu janganlah engkau membebankan dia dengan rasa susah hati dan berusahalah mengembirakan dia kerana itulah haknya. Oleh itu hendaklah engkau bersabar dan berusaha memastikan keluarga dan orang di bawah jagaanmu selamat. Engkau layak untuk mendapat kebahagiaan.

Kesepuluh.

Sesukar apa pun perjalan yang kau tempuh, sepahit apa pun kisah yang kau rasa. Ku mohon padamu, janganlah pernah berpaling dari cahayaNya. Yakinlah, bahawa engkau tak pernah sendiri, Allah dengan segala kemurahanNya akan selalu membimbingmu, asal dirimu selalu menjaga waktu untuk selalu dekat padaNya. Sahabatku yang hatinya selalu terpancar cahaya Illahi, selalu ada ruang dihatiku untukmu, kerana kau telah terlebih dahulu membesarkan hatiku. Dan aku berharap semoga kita bertemu kembali walau di tempat dan waktu yang berbeza, namun masih ada cinta di sana.

            Sahabatku, yang kerana Allah aku merindukanmu. Inilah sepucuk surat yang ku tulis untukmu, ku tulis dengan hati tulus ikhlas, dengan jiwa yang basah. Semoga setelah engkau membacanya, semakin terjalinlah rasa persahabatan kita. Dan semakin semangat pula ikhtiar kita menuju jalanNya. Semoga Allah menghimpun kita di taman-taman syurga, seperti janji suci yang kita ikrarkan. Terima kasih kerana telah menjadi sahabat sematiku. Jumpa lagi, sahabat. Sekian, wassalam.


Sahabatmu,


Penulis Tanpa Nama.