Pengikut

Selasa, 1 Januari 2013

K-POP CULTURE SHOCK




Bayangkan, artis seperti Girl Generations mendapat tontonan lebih 77 juta orang di Youtube. K-Pop menerjah seluruh dunia dengan kehadiran Super Junior, Big Bang, SNSD, Wonder Girls, Beast dan ramai lagi yang tumbuh seperti cendawan. Jelas, K-Pop telah memecahkan tembok bahasa. Aliran muziknya telah mewujudkan obsesi dalam jiwa anak muda. Namun, apakah keistimewaan muzik mereka? Berbahayakah kepada budaya Malaysia? Sama-sama kita mencari jawapannya dalam Bicara Isnin hari ini.

  TAHUN lalu, Himpunan Jutaan Belia dianjur kerajaan menyaksikan pelbagai persembahan oleh kumpulan pop Korea, atau lebih popular sebagai K-Pop.

Tetapi pemakaian dan aksi kumpulan-kumpulan tersebut, terutama anggota wanita yang tidak sesuai dengan budaya negara ini dipersoal banyak pihak, menyebabkan kerajaan memohon maaf.

Tapi selang beberapa hari, parti pembangkang pula menjadi sasaran isu yang sama apabila majlis Malam Bersama PKR di Bertam turut dimuatkan dengan persembahan gadis berpakaian seksi.

Apa lagi, berlakulah sesi balas membalas antara pemimpin dan penyokong kerajaan serta pembangkang tanpa mengambil kira penjelasan yang diberikan kedua-dua pihak.

Tetapi apa yang ingin difokuskan di sini adalah pengaruh K-Pop itu sendiri, sehingga ia turut dihidangkan dalam acara kerajaan dan parti politik.

Apa sebenarnya K-Pop ini?

Jika dilihat secara definisi, K-Pop adalah sejenis genre muzik menggabungkan unsur tarian, elektronik, hip hop, rock dan R&B yang berasal dari Korea Selatan.

Namun kita dapat lihat K-Pop ini bukan lagi sekadar muzik, tetapi seakan menjadi budaya popular dalam kalangan remaja di seluruh dunia.
Buktinya, fesyen dan gaya penyanyi K-Pop menjadi ikutan ramai.

Walaupun pengaruhnya nampak begitu kuat sejak akhir-akhir ini, K-Pop sebenarnya bukanlah genre baru, tetapi bermula lebih 20 tahun lalu iaitu pada 1992, apabila muzik rap dan tarian mula dikenali melalui populariti kumpulan K-Pop terawal, iaitu Seo Tai-ji & Boys.

Kumpulan itu menggabungkan unsur rap, rock dan tekno dalam muzik mereka dan ia dianggap sebagai saat permulaan K-Pop.

Kemudian, penubuhan agensi bakat terbesar Korea Selatan, SM Entertainment pada 1995 oleh usahawan Lee Soo Man melahirkan lebih ramai artis K-Pop.

Tetapi apa yang membuatkan K-Pop begitu popular sehingga dikenali di seluruh dunia sejak akhir-akhir ini? Tentu sekali dengan bantuan Internet. Kewujudan laman peminat Facebook, profil Twitter dan video muzik di YouTube membolehkan K-Pop tersebar kepada lebih ramai pendengar, mencetus anjakan besar dalam populariti genre itu.

Apa yang menarik, K-Pop dilihat sebagai eksport budaya Korea yang sangat berjaya. Menurut indeks ‘Gelombang Korea’ dikeluarkan Yayasan Pertukaran Budaya Antarabangsa Korea pada 2010, antara negara yang menerima pengaruh budaya K-Pop terbesar adalah Taiwan,

Japan, China, Thailand, Vietnam, Malaysia dan Filipina. Bukan sahaja di Asia, K-Pop juga mula melebarkan pengaruhnya ke pasaran luar termasuk di Amerika Utara sehinggakan pada 2011, carta muzik Billboard di Hollywood merasmikan Carta 100 Korea K-Pop Terhangat, iaitu carta kedua dikhaskan untuk muzik dari Asia selepas Carta Japan 100. Pada 2009, Wonder Girls, salah satu kumpulan muzik Asia paling berjaya yang menjual jutaan album menjadi satu-satunya kumpulan K-Pop yang menduduki carta Billboard Hot 100 di Amerika Syarikat (AS) dan membuat persembahan di rancangan televisyen AS seperti So You Think You Can Dance (United States) dan The Wendy Williams Show.

Tetapi kejayaan hebat mereka ini bukan kerana tuah. Jangan terkejut kalau diberitahu yang artis K-Pop ini bukanlah muncul begitu sahaja tetapi dibentuk sejak awal. Agensi bakat Korea akan mengambil beberapa pelatih sebelum membentuk karier mereka.

Dalam tempoh dua tahun atau lebih, pelatih akan menjalani latihan suara, mempelajari tarian profesional, membentuk tubuh badan melalui senaman dan mempelajari beberapa bahasa dan semua ini dibuat semasa sedang di bangku sekolah lagi.

Tidak hairanlah kalau produk Korea ini sangat berjaya kerana pelaburan setinggi AS$400,000 (RM1.2 juta) dikeluarkan untuk melatih dan melahirkan seseorang artis baru.

Lihat bagaimana Korea memastikan mereka hanya mengeluarkan produk terbaik untuk dipasarkan di seluruh dunia, dan tentunya memberi pulangan mewah.

Mungkin kita juga boleh mula mengikut jejak langkah ini. Bukan untuk pulangan kewangan, tetapi persoalannya pengeksportan bakat Malaysia sebagai NEGARA ISLAM penting dalam usaha MENEGAKKAN SYARIAT ISLAM dengan budaya ISLAM yg penuh dengan keSOPANan serumpum masyarakat kita hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan