Pengikut

Selasa, 28 Mei 2013

Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu AbduLLah Al Banjari IDOLAKU!

BIOGRAFI RINGKAS

al-Fadhil Tuan Guru Syaikh Muhammad Nuruddin bin Haji Marbu bin Abdullah Thayyib حفظه اللهberasal dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan Indonesia. Beliau dilahirkan di sebuah desa bernama Harus, Amuntai pada tanggal 1 September 1960M. Beliau anak yang ketiga dari tujuh bersaudara, dari sebuah keluarga yang taat beragama. Bonda beliau bernama Hajjah Rahmah binti Haji Muhammad Sobri adalah puteri dari seorang tokoh ulama besar di Kalimantan Selatan.

Berhijrah ke Tanah Suci Makkah

Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di kampung Harus. Kemudian pada tahun 1974 beliau belajar di pondok pesantren Normal Islam. Belum pun sempat menamatkan pengajiannya di pondok tersebut seluruh keluarga beliau telah berhijrah ke tanah suci Makkah. Pada tahun itu juga (1974) beliau meneruskan pengajiannya di madrasah Shaulathiah [sejarah penubuhan madrasah ini boleh didapati disini] sehingga tahun 1982. Selain itu beliau juga mengikuti pengajian yang diadakan umum di Masjidiharam dan juga dirumah para masyaikh.

Pada tahun 1982 beliau telah menamatkan pengajiannya dengan kepujian mumtaz (cemerlang) di madrasah Shaulathiah. Di samping itu juga beliau turut mencurahkan ilmunya kepada para pelajar dari Indonesia. Beliau telah mengajarkan kitab Qatrunnada, Fathul Mu’in, ‘Umdatussalik, Bidayatul Hidayah dan lain-lain sebelum naik ke kelas ‘Aliyah.

Beliau merupakan murid kesayangan gurunya asy-Syaikh al-‘Allamah Ismail Utsman Zain al-Yamani رحمه الله . Dan guru inilah yang banyak mewarnai dalam kehidupan beliau. Tuan guru beliau ini banyak meluangkan waktunya yang berharga untuk beliau dan sering mengajaknya untuk menemani Tuanguru beliau ke Madinah menghadiri program agama dan juga menziarahi maqam baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Beliau mencurahkan segala usaha dan tenaganya serta dirinya mendekati para masyaikh untuk berkhidmat dan juga membekali diri dengan ilmu daripada guru-gurunya. Beliau amat gigih dalam belajar, maka tidak hairanlah kalau beliau mendapat tempat di hati para gurunya. Sebut sahaja ulama’ yang ada di Mekah khususnya pasti beliau pernah berguru dengan mereka. Siapa yang tidak mengenali tokoh ulama’ yang harum nama mereka disebut orang semisal Syaikh al-Allamah Hasan al-Masyath yang digelar Syaikh-ul-Ulama’, Syaikh al-Allamah Muhammad Yasin al-Fadani, yang mendapat julukan Syaikhul Hadits wa Musnidud-dunya, Syaikh Ismail Usman Zin al-Yamani yang digelar al-Faqih ad-Darrakah (guru beliau ini menghafal kitab Minhajut Tholibin), Syaikh Abdul Karim Banjar, Syaikh Suhaili al-Anfenani, as-Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki, Syaikh Said al-Bakistani dan masih banyak lagi. Kata pepatah arab “cakap sahaja tanpa perlu khuatir”. Kitab-kitab yang dipelajari beliau bersambung sanad hingga kepada pengarang, masyaAllah betapa hebat dan beruntungnya umur beliau dan segala-galanya yang diberikan oleh Allah, tidak salah kalau dikatakan ilmu beliau lebih tua dari umurnya.

Pada tahun 1983 beliau telah melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Azhar asy-Syarif dalam bidang syariah hingga mendapat gelar sarjana muda. Kemudian beliau meneruskan lagi pengajiannya di Ma’had ‘Ali Liddirasat al Islamiah di Zamalik sehingga memperolehi diploma am “Dirasat ‘Ulya” pada tahun 1990 .

Antara guru-gurunya ketika belajar di Mekah dan Mesir adalah adalah:-

asy-Syaikh al-‘Allamah Hasan al-Masyath رحمه الله
asy-Syaikh al-‘Allamah Muhammad Yasin al-Fadani
رحمه الله,
asy-Syaikh al-‘Allamah Ismail Utsman Zain al-Yamani al-Makki
رحمه الله,
asy-Syaikh ‘Abdullah Said al-Lahji
رحمه الله,
asy-Syaikh al ‘Alaamah al-Jalil as-Sayyid ‘Amos
رحمه الله
asy-Syaikh al-‘Allamah Muhammad ‘Iwadh al-Yamani
رحمه الله
asy-Syaikh Zakaria Bila al-Indonesia
رحمه الله
asy-Syaikh Muhammad Syibli al-Banjari
رحمه الله
asy-Syaikh Karim al-Banjari
رحمه الله
asy-Syaikh ‘Abdul Karim al-Bukhari
رحمه الله
asy-‘Adnan al-Afnani
رحمه الله
asy-Syaikh Saifurrahman
رحمه الله
asy-Syaikh Sahili al-Anfanani
رحمه الله
asy-Syaikh Said al-Bakistani
رحمه الله
asy-Syaikh al-‘Allamah al-Muhaddits al-Kabir Muhammad Zakaria al-Kandahlawi
رحمه الله
asy-Syaikh al-Jalil al-Habib ‘Abdul Qadir as-Saggaf
حفظه الله
asy-Syaikh Muhammad Muntashir al-Katani al-Maghribi
رحمه الله
asy-Syaikh al-‘Allamah al-Muhaddits al-Habib as-Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki
رحمه الله
asy-Syaikh al-‘allamah Muhammad Makki al-Hind
رحمه الله
asy-Syaikh Muhammad Makhluf
رحمه الله
asy-Syaikh al-‘allamah ‘Abdullah bin Hamid
رحمه الله
asy-Syaikh al-‘Allamah al-Kabir Muhammad Mutawalli asy-Sya’rawi
رحمه الله
asy-Syaikh al-Imam al-Akbar ‘ali Jadul Haq
رحمه الله
asy-Syaikh Muhammad Zaki Ibrahim
رحمه الله
al-Ustaz ad-Doktor asy-Syaikh Muhammad Tayyib an-Najjar
رحمه الله
asy-Syaikh al-Jalil ar-Rabbani Muhammad ‘Abdul Wahid
رحمه الله
asy-Syaikh al-‘allamah al-Kabir Abul Hasan ‘Ali an-Nadwi
رحمه الله
asy-Syaikh al-‘Allamah al-Faqih ‘atiyyah Saqr
رحمه الله
asy-Syaikh al-‘Allamah Hussin
رحمه الله
asy-Syaikh ‘Abdul Hafidz al-Hind
رحمه الله
al-Ustadz ad-Doktor Ahmad umar Hasyim
حفظه الله,
al-Ustadz ad-Doktor ‘Abdusshobur Syahin
al-Ustadz ad-Doktor ‘Abdul Fattah asy-Syaikh,
al-Ustadz ad-Doktor Nashr Farid,
asy-Syaikh al-‘Arifbillah Yusuf Mahyuddin al-Hasani asy-Syadhuli ad-Darqawi
حفظه الله dan ramai lagi.

MENABUR JASA & MENYANDANG GELAR AZHARUS TSANI

Setelah menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar beliau menumpukan perhatiannya untuk mencurahkan ilmunya kepada ribuan para pelajar yang datang dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand yang menuntut di Universiti al Azhar sehingga beliau mendapat gelaran al Azharus Tsani (Azhar ke Dua) satu julukan yang terhormat dan tulus dari masyarakat universiti al Azhar sendiri.

Beliau mengadakan kelas pengajian yang diberi nama “Majlis Al-Banjari Littafaqquh Fiddin” semenjak tahun 1987 sehingga 1998 yang mana buat pertama kalinya diadakan di rumah pelajar Johor dan rumah pelajar Pulau Pinang, di dewan rumah Kedah dan di dewan rumah Kelantan dan juga di masjid Jamik al Path di Madinah Nasr. Di samping mengajar beliau juga menghasilkan kitab-kitab agama berbahasa Arab dalam pelbagai bidang yang banyak tersebar luas di Timur Tengah dan juga di negara Malaysia. Boleh dikatakan setiap para pelajar yang belajar di Al-Azhar Mesir semasa beliau berada di sana pernah menimba ilmu dari tokoh ulama’ muda ini. Dan memanglah semenjak dari awal keterlibatannya dalam dunia ta’lim beliau telahpun menazarkan diri beliau untuk terus menjadi khadim (orang yang berkhidmat) untuk penuntut ilmu agama. Semoga Allah Ta’ala mengurniakan kesihatan dan ke’afiaatan kepada beliau serta keluarganya dan memberikan kesempatan yang seluasnya untuk beliau terus mencurahkan ilmu dan terus menghasilkan karya ilmiah.Wallahua'lam!Doakan Ibnu menjadi seperti SYEIKH suatu hari nanti..

Jumaat, 24 Mei 2013

KEJAHATAN bukan satu KEBETULAN!!

Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk perlahan-lahan, tahap demi tahap. Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah.


Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya bukan main. Sesalnya sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang resah. Benarlah seperti yang sering diungkapkan, bila manusia berdosa dia bukan sahaja menentang Allah tetapi juga menentang dirinya sendiri.
Namun rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya... rasa bersalah itu akan hilang. Sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan...
tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. "Alah Bisa Tegal Biasa". Hati telah tega untuk berdosa.

Dosa itu racun yang disalut kemanisan. Dosa yang dilazimi tidak akan terhenti kesannya pada hati. Dari tahap terbiasa dengan dosa, kederhakaan meningkat lebih parah lagi. Tibalah hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Diri sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukannya. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, mencengkam hati dan diri. Racun dosa terasa nikmatnya. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang terbiasa menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang tiada taranya.

Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan tidak pernah tidur. Usahanya tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di lebuhraya nafsu, diri yang seronok dengan dosa itu dirasuk untuk 'maju' setapak lagi. Itulah tahap keempat yang lebih dahsyat dan sesat. Keseronokan dosa menjadi si berdosa itu menjadi pembela dan pejuangnya. Dosa dipromosi dan dihiasi sebagai jalan kebenaran dan denai keindahan. Jangan ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat... pejuang dosa itu pun bangun menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat.

Justeru wahai diri, berhati-hatilah dengan dosa. Jangan tertipu oleh kecil atau remehnya suatu kederhakaan. Ingat, tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam. Keterlanjuran kali pertama jangan disusuli oleh kesengajaan kali kedua. Kelak akan menyusul perancangan dan perjuangan atas nama dosa.

Wahai diri... ketika rasa bersalah singgah di dalam hati pada kali pertama kau berdosa, ketahuilah itu adalah 'peringatan' yang Allah bekalkan secara tabii untuk menjaga fitrah insani. Itu petanda yang hatimu masih hidup. Penyesalan itukan syarat taubat? Maka susulilah dengan syarat kedua dan ketiga (jika dosa itu dengan Allah). Jika dosa itu dengan manusia, tambahlah lagi dengan syarat yang keempat. Tidak mengapa jika kau terlanjur lagi berdosa selepas itu. Bertaubatlah kembali. Hatimu akan hidup lagi. Selagi ada rasa bersalah, selagi itulah ada sarana untuk kembali kepada Allah. Jangan putus asa oleh taubat yang patah, kerana kasih-sayang Allah akan menumbuhkan taubat kali kedua, ketiga dan seterusnya.


Wahai diri, biarlah dirimu jatuh bangun, merangkak tegak, dalam taubat demi taubat yang tidak 'menjadi' berbanding larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik terbentur, daripada patah. Lebih baik hatimu selalu terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat, daripada tertipu oleh 'nikmatnya' yang menyebabkan siksa selamanya di akhirat.

Wahai diri, ingatlah... sekalipun kau terhijab daripada mengecapi nikmat ketaatan, tapi jangan sampai kau tertipu oleh nikmat kejahatan. Berhati-hatilah menjaga hati. Tidak mengapa kau selalu menangis kerana dosa... tetapi jangan sampai kau tersenyum kerananya! Ingatlah selalu, kejahatan yang menyebabkan kau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur!

Terimalah lagu dari Edcoustic... Lagu ini sangat Menyentuh HATI Ibnu ketika sendiri MENYEPI dengan MP3 di atas puncak GUNUNG LEDANG,JOHOR!


Teringat satu kata-kata : fal yakul khoiran au liyasmut! ah, andai teringat ini diri jadi malu kerana diri bukan yang itu, namun benar, senyap itu pagar yang paling berkesan dan tidak penat.. pergilah duhai diri, menyepi seketika, bertafakur dan beruzlah untuk pembaikan...
Mungkin bukan senyap mulut tetapi senyap dari satu sudut yang memungkinkan pembaikan..
salam MUJAHADAH buat SEMUA!!















Rabu, 15 Mei 2013

Isnin, 13 Mei 2013

Ku Mahu Setia Sehingga Pada Yang Empat!! Yumkin 'au La' ya HABIBATI?



Satu ketika sepasang suami isteri telah selamat diijabkabulkan. Walaupun mereka tidak saling kenal antara satu dengan yang lain, namun mereka kelihatan ceria dan gembira dihari persandingan mereka.

Sampailah satu hari ketika mereka pergi berbulan madu disatu tempat yang cukup indah bagi pasangan pengantin baru seperti mereka.

Tatkala mereka bersiar-siar menyaksikan keindahan alam sekeliling yang memukau sesiapa sahaja. Si suami memegang erat tangan isterinya, tanda begitu bahagia disamping isteri tercinta.

Sehinggalah satu ketika isteri bertanya pada suami:

"Abang.. Cintakan sayang tak?"


|||Jika Kau Hilangkan AGAMA Dalam Dirimu, Hilanglah CINTAku Padamu|||

"Mestilah.. Abang cintakan sayang kerana Allah. Buktinya kita sudah walimah kan"


"Kalau abang benar-benar cintakan sayang, boleh tak sayang minta sesuatu?"

"Boleh sayangku, apa dia?"

"Boleh ke abang setia dengan sayang sehingga hujung nyawa?"

Mendengar permintaan isterinya itu, suaminya tersenyum lebar lalu menjawab:
"Boleh sayang.. Abang akan setia pada yang empat"

Raut wajah isteri itu terus berubah kerana terkejut dengan jawapan suaminya. Tidak berapa lama kemudian linangan air mata terus membasahi pipi isterinya yang tunduk kesayuan.

Lalu suaminya mengangkat dagu isterinya dan memandang tepat mata isterinya sambil mengusap air mata isterinya dan berkata sambil tersenyum:
"Wahai isteriku, janganlah kau menitiskan air matamu yang suci ini. Demi Allah! Abang akan setia pada yang empat, pertama pada Allah swt, kedua kepada Rasulullah saw, ketiga kepada kedua ibubapa, dan yang keempat abang akan setia pada ISTERIKU yakni dirimu sayang"

Mendengar kata-kata suaminya, isterinya segera memeluk erat suaminya dan berkata:
"Alhamdulillah.. sungguh bertuahnya diri ini atas kurniaanMu Ya Allah. Sayang abang sangat-sangat" :')

Demikianlah kisah sepasang suami isteri yang bercinta kerana Allah swt. Sudah pasti kebahagiaan meniti perjalanan baitul muslim yang sakinah, mawaddah dan warahmah. In shaa Allah. Aamiiiin.

"I LOVE ALLAH, MISS YOU RASULULLAH, DEAR MY PARENT, and WHO ARE YOU"


“HUKUM MENYEDIAKAN KENDURI KEMATIAN” Oleh: Ustaz Hasan Bin Ahmad.


بسم الله الرحمن الرحيم
 MUKADDIMAH
Sudah menjadi lumrah kepada orang Melayu yang beragama Islam di tanah air kita, apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga, maka ahli keluarga si mati itu akan menyediakan makanan dan minuman.
Pada kebiasaannya, keluarga si mati akan memasak dan menyediakan nasi bungkus mengikut bilangan orang yang hadir bersembahyang jenazah atau mengikut jumlah
orang yang terlibat memberi pertolongan mentajhizkankan mayat, termasuk penggali kubur dan sebagainya. Sebaik sahaja selesai sembahyang jenazah, nasi bungkus akan diedarkan dan dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang turun dari rumah.
Kemudian, pada malam pertama hingga malam ke tujuh diadakan majlis tahlil kepada roh si mati, dan sesudah majlis tahlil, keluarga si mati akan menghidangkan makanan dan minuman kepada jiran dan para jemaah yang hadir, sama ada jamuan ringan atau jamuan berat mengikut kadar kemampuan masing-masing. Manakala pada malam
ketiga, ketujuh, kedua puluh, keempat puluh dan ke seratus pula, pada kebiasaannya, akan dihidangkan jamuan nasi dengan aneka masakan yang enak-enak. Kemudian
setiap malam Jumaat selepas hari ke tujuh hingga hari keempat puluh atau kadang-kadang sehingga hari ke seratus, diadakan lagi majlis-majlis tahlil, dengan setiap lepas tahlil akan dihidangkan pelbagai hidangan dan masakan oleh ahli si mati.
Pendek kata, menjamu makanan dan minuman selepas kematian telah menjadi tugas yang terpaksa dilakukan oleh ahli si mati, sama ada mereka terdiri dari orang kaya
atau kurang berada (miskin). Kalau tidak dibuat, nescaya akan dicela oleh jiran tetangganya, kaum kerabatnya dan sahabat handainya. Bukan setakat dicemuh, malahan keluarga si mati yang tidak menurut resam turun temurun itu akan dipandang serong oleh masyarakat sekitar. Bermacam-macam tuduhan dan cemuhan dilemparkan kepada ahli si mati yang tidak mengikut adat tradisi itu. Umpamanya dikatakan kedekut, bakhil, tidak mengenang jasa si mati atau juga dikatakan seperti mengambus batang pisang dan sebagainya.
Itulah antara ungkapan, dan ajaran yang menggambarkan kejinya sesiapa yang meninggalkan tradisi  tersebut. Sebahagian besar dari kalangan umat Islam menganggapnya dari ajaran Islam yang penting yang tidak boleh diabaikan, kerana ianya turut dilakukan oleh orang-orang yang berpengetahuan agama, sama ada dari lepasan madrasah-madrasah pondok atau lepasan dari sekolah-sekolah arab/agama. Mana-mana individu yang mengkritik adat resam itu akan dicop dan dilabelkan sebagai Kaum Muda yang hendak merosakkan ajaran Islam yang suci.
Walau bagaimanapun, ada juga segolongan kecil umat Islam di negara kita yang berpendapat bahawa membuat dan menjamu makanan selepas kematian adalah amalan
bid’ah yang perlu ditinggalkan, kerana ia tidak pernah dibuat atau dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya.
 KEMBALI KEPADA ALLAH DAN RASULNYA
Penyusun merasa terpanggil untuk mengambil bahagian dalam perbincangan masalah perselisihan yang tidak ada kesudahan ini, dengan harapan semoga masyarakat kita, khususnya alim ulama dan bijak pandai Islam, dapat menilai siapakah sebenarnya berada di pihak yang hak dan siapakah yang berada di pihak yang kabur dalam masalah yang dinyatakan.
Ulama silam telah membentangkan kepada kita mengenai hukum sebenar membuat dan menjamu makanan kepada orang ramai selepas berlaku kematian. Antaranya ialah dengan cara membawa hadis-hadis yang menjelaskan secara khusus mengenai perkara ini:
1.      Hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abdullah Bin Ja’far, beliau berkata, apabila tiba berita kematian Ja’far (bin Abi Thalib) Nabi SAW bersabda:
 اصنعوا
لأهل جعفر طعاما ، فإنه قد جاءهم ما يشغلهم.
Maksudnya: “Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’afar (isteri-isteri dan anak-anaknya), sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan (menyulitkan) mereka.”
Dalam hadis diatas, Rasullulah SAW mengharapkan jiran tetangga yang tinggal berhampiran dengan keluarga si mati agar membuat makanan kepada mereka yang ditimpa musibah dan dukacita kematian. Ja’far Bin Abi Thalib r.a telah mati syahid dalam peperangan Mu’tah pada tahun kelapan hijrah. Sebaik-baik sahaja berita kematiannya sampai, Nabi SAW menyuruh jiran tetangganya melakukan perkara itu kepada ahlinya (keluarganya) bagi meringankan beban dukacita ahli keluarga dengan memberi makan kepada mereka.
2.      Hadis Jarir Bin Abdullah (r.a) katanya:
كنا
نعد الإجتماع إلي أهل الميت وصنعة الطعام بعد دفنه من النياحة.
Maksudnya:
Kami mengira berhimpun orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengebumiannya adalah sebahagian dari ratapan kematian. (diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal dan Ibnu Majah dengan sanad yang sahih).
Hadis diatas menunjukkan kepada kita bahawa orang ramai yang berhimpun di rumah ahli si mati dan memakan makanan yang dimasak dan disediakan oleh ahli si mati adalah sebahagian dari perbuatan ratapan kematian. Dan ratapan selepas kematian adalah perbuatan jahiliah yang hukumnya adalah haram sebagaimana dimaklumi.
 Ahli keluarga si mati tidak patut membuat makanan dan memberi makan atau menjamu orang lain, kerana perbuatan itu tidak disyarakkan.
Di bawah ini diturunkan pesanan beberapa ulama besar lagi mujtahid:
1-Imam Syafie menegaskan dalam kitabnya (الأم):
a)
وأحب
لجيران الميت أو ذى قرابته أن يعلموا لأهل الميت في يوم وليلته طعاما يشبعهم، فإن
ذلك سنة وذكر كريم، وهو من فعل أهل الخير قبلنا وبعدنا، لأنه لما جاء نعى جعفر قال
رسول الله صلى عليه وسلم: اجعلوا لآل جعفر طعاما فإنه قد جاءهم أمر يشغلهم.
Maksudnya:
Aku suka jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya (keluarga jauh) memberi makan kepada ahli keluarga mayat, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana itu adalah sunnah dan ingatan (
ذكر) yang mulia, dan ianya adalah perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita. Ini kerana apabila tiba berita kematian Ja’far, Rasulullah SAW bersabda: “Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja’far kerana telah datang perkara yang mengharukan kepada mereka”
b)
وأكره
المأتم وهي الجماعة وإن لم يكن لهم بكاء فإن ذلك يجدد الحزن ويكلف المؤنة

…..
Maksudnya:
Aku benci diadakan mu’tam iaitu perhimpunan, walaupun tidak ada tangisan kepada mereka, kerana sesungguhnya perbuatan itu memperbaharui dukacita dan membebankan tanggungan…[1]).
2-Kata Imam An-Nawawi dalam kitab (المجموع): Telah berkata Imam Syafie dalam (المختصر): Aku suka kepada kaum kerabat si mati dan kepada jirannya yang membuat makanan kepada ahli si mati, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya. Sesungguhnya ia adalah sunnah yang dilakukan oleh golongan yang baik-baik. Kata Ashab kita (Ulama Fiqh Syafie): Membuat pelawaan bersungguh-sungguh supaya ahli si mati itu makan, walaupun mayat berada di negeri lain, juga disunatkan kepada jiran keluarga si mati membuat makanan untuk mereka[2]).
3-Shohib Assyamil (Ibn As-Sobbagh) dan orang lain berpendapat: Ahli keluarga si mati membuat makanan dan menghimpunkan orang ramai supaya makan, maka tidak ada sumber sedikit pun yang diriwayatkan, bahkan perbuatan itu bid’ah yang tidak disukai. Beliau membuat dalil dengan hadis Jarir Bin Abdullah (r.a) yang berkata: كنا
نعد الاجتماع
…….
4-Sheikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah (rhm) berkata:
“Manakala ahli si mati membuat makanan dan memanggil orang ramai supaya memakannya, adalah perbuatan itu tidak di syarakkan, bahkan ia bid’ah, berdasarkan hadis Jarir Bin Abdullah r.a yang berkata: “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai adalah sebahagian dari ratapan jahiliah.”[3])
5-Dalam kitab Fiqhussunah ada disebut: “Disunatkan membuat makanan kepada ahli si  mati, kerana ianya dari perkara kebajikan dan taqarrub kepada Allah dari jiran tetangga dan dari kaum kerabat (yang jauh)”. Imam Syafie berkata: “Aku suka kaum kerabat si mati membuat dan memberi makan kepada ahli si mati, yang boleh mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana ia adalah sunnah dan daripada perbuatan golongan yang baik-baik.”
Ulama mengatakan sunat mempelawa bersungguh-sungguh supaya ahli si mati memakan  makanan yang diberikan itu supaya mereka tidak menjadi lemah lantaran tidak menjamah makanan disebabkan terlampau terkejut dengan peristiwa kematian atau dengan sebab segan. Imam-imam  mazhab telah bersepakat bahawa hukumnya adalah makruh bagi ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai yang berkumpul kepada ahli si mati, kerana perbuatan itu menambahkan lagi musibah ke atas mereka dan memperbanyakkan lagi kesibukkan di atas kesibukkan yang telah sedia ada, dan perbuatan itu tak ubah seperti kelakuan seperti golongan Jahiliah. Hajat ini berdasarkan kepada hadis Jarir Bin Abdullah r.a yang berkata: “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengebumiannya adalah dari ratapan kematian.”
Sesetengah ulama mengatakan hukumnya adalah haram bagi ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai[4]).
Di dalam kitab حكم القراءة  للاءموات ada disebut: antara bid’ah yang diharamkan ialah ahli si mati memberi makan kepada orang yang memberi takziah atau memberi makan kepada faqir miskin selepas mengiring jenazah, dan pada hari Khamis, pada hari ketiga, pada hari keempat puluh dan tahunan (haul). Yang sunnahnya ialah sahabat handai dan jiran  tetangga memberi makan kepada ahli si mati kerana hadis Nabi SAW: “Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’far kerana sesungguhnya telah datang perkara yang telah mengharukan mereka” (diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan selainnya dengan sanad yang sahih). Maka alangkah jauhnya perbezaan antara As-Sunnah dengan bid’ah[5]).
 7. Di dalam kitab احكام الجنائز وبدعها  ada disebut, antara amalan bid’ah ialah:
1) Ahli si mati menerima dhif tetamu dengan memberi makan kepada mereka.
2) Menerima panggilan jamuan makanan daripada ahli si mati[6].
Sunnah membuat makanan untuk ahli si mati – Pendapat empat Mazhab
Selepas kita mengikuti perbincangan dari ulama dan ulama mujtahid mengenai membuat dan menjamu makanan selepas kematian, atau dengan kata lain membuat kenduri jamuan makanan selepas kematian, maka dapat di fahamkan dari ulasan dan penerangan itu bahawa amatlah berbeza sekali apa yang di amalkan oleh kebanyakkan masyarakat Islam kita pada hari ini, kerana amalan mereka membuat kenduri jamuan makan selepas kematian adalah bercanggah dengan sunnah Nabi SAW dan sunnah sahabat-sahabat dan bertentangan dengan fatwa-fatwa ulama. Oleh kerana perkara ini sangat tebal diamalkan dalam masyarakat Islam Melayu kita, maka penyusun merasa mustahak untuk membentangkan pula kepada pembaca pendapat Fuqaha’ dari empat imam mazhab sebagaimana berikut:
1- Mazhab Maliki:
Di sunatkan kepada jiran dan seumpamanya menyediakan makanan kepada keluarga si mati kerana kesibukan mereka menghadapi kematian.
2- Mazhab Hanafi:
Disunatkan kepada jiran keluarga si mati dan kaum kerabatnya yang jauh menyediakan makanan untuk ahli si mati, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana sabda Nabi Muhammad SAW: “Hendaklah kamu membuat  makanan kepada ahli Ja’far, kerana sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka”. Oleh kerana memberi makan itu suatu perkara kebaikan dan ma’ruf, maka dipelawa bersungguh-sungguh kepada mereka supaya makan, kerana kesedihan telah menghalang mereka daripada memakan makanan dan menyebabkan mereka menjadi lemah.
3- Mazhab Hanbali:
Disunatkan membuat makanan untuk ahli si mati dan dihantar makanan itu kepada mereka bagi memberi pertolongan dan melembutkan hati mereka. Boleh jadi mereka sibuk dengan ujian yang diterima, juga sibuk dengan kunjungan orang ramai yang datang menemui mereka, menyebabkan mereka tidak dapat menyediakan makanan untuk diri mereka sendiri. Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abdullah Bin Ja’far bin Abi Thalib) r.ahma, Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’far, sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka”.
Diriwayatkan dari Abdullah Bin Abu Bakar r.anhma, beliau berkata:
“Sentiasa sunnah Nabi itu menjadi ikutan kami (sahabat Nabi) sehingga ditinggalkan oleh manusia yang meninggalkannya (yakni sehingga sunnah itu ditinggalkan dan tidak diamalkan oleh kebanyakkan orang).”
4 – Mazhab Syafie:
Sebagaimana disebut dalam kitab Al-Muhazzab (المهذب) oleh Imam Al-Syirazi[7] ).
Disunatkan kepada kaum kerabat si mati dan jirannya membuat makanan kepada ahli si mati.
 (Isteri, Suami dan anak-anaknya), kerana diriwayatkan apabila Ja’far Bin Abu Thalib r.a terbunuh Nabi SAW bersabda:
“Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’far, sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka”. Imam Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu’ syarah kepada kitab al-Muhazzab, katanya: “Imam Syafie berkata di dalam kitab al-Mukhtasar: “Aku suka pada kaum kerabat si mati dan jirannya membuat makanan untuk ahli si mati, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana sesungguhnya perbuatan itu ialah sunat dan diamalkan oleh golongan yang baik-baik.’’
Telah berkata ashab kita, (Ulama fiqh Syafie):
Dipelawakan bersungguh-sungguh kepada mereka (ahli si mati) supaya mereka makan dan walaupun mayat itu berada di negeri lain sekalipun, adakah disunatkan juga kepada jiran tetangga keluarga si mati membuat makanan untuk mereka.
Setelah kita mengikuti pendapat ulama di dalam empat mazhab mengenai membuat dan menyediakan makanan atau jamuan selepas kematian maka kita dapati semua mazhab telah bersepakat kata bahawa hukumya adalah sunat bagi jiran tetangga dan kaum kerabat yang jauh membuat makanan kepada mereka, bukan mereka membuat makanan dan menjamu jiran dan orang ramai apabila berlaku sesuatu kematian seperti yang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat kita pada hari ini.
 Makruh ahli keluarga si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai – pendapat Empat Mazhab
Sebagaimana yang telah dikatakan, adat resam ini menjadi amalan sebahagian besar masyarakat Islam di negara kita, malah ada sesetengah bijak pandai Islam sendiri, mempertahankan tradisi ini, tanpa berpegang kepada dalil-dalil dan hujah-hujah yang kukuh.
Bagi memahami permasalahan ini ada baiknya dibentangkan dahulu nas atas teks asal dalam bahasa Arab oleh ulama dari empat mazhab kemudian diiringi dengan maksudnya dalam bahasa Melayu.
Ø
Pendapat
Mazhab Maliki:
وجمع الناس على طعام بين
الميت بدعة مكروهة لم ينقل منها شئ, وليس ذلك موضع ولائم.
Maksudnya:
Perhimpunan orang ramai pada makanan di rumah si mati adalah bid’ah yang makruh, tidak ada sandaran riwayat yang boleh berpegang sedikit pun, dan ia bukan tempatnya yang sepatut dan ianya dicela.[8])
Ø
Pendapat
Mazhab Syafie:
وأما
إصلاح اهل الميت طعاما وجمع الناس عليه , فلم ينقل فيه شئ وهو بدعة غير مستحبة.
ويستدل لهذا بحديث جرير
بن
عبد الله رضى الله عنه: كنا نعد الاجتماع إلى أهل الميت وصنعة الطعام بعد دفنه من النياحة.
Maksudnya:
“Jika ahli si mati membuat makanan untuk orang ramai dan menghimpun mereka kepada makanan itu, maka ianya tidak ada sandaran riwayat yang  boleh dipegang sedikit pun, dan perbuatan itu bid’ah yang tidak disunatkan. Berdalil dengan hadis Jarir Bin Abdullah r.a: “Kami mengira perhimpunan kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengebumiannya adalah dari ratapan kematian.” [9])
 Ø
Pendapat
Mazhab Hanbali:
فأما
صنع اهل الميت طعاما للناس فمكروه, لأن فيه زيادة على مصيبتهم وشغلا إلى شغلهم
وتشبها بصنع اهل الجاهلية .
Maksudnya:
Jika ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai, maka hukumnya makruh, kerana perbuatan itu menambahkan lagi ke atas musibah mereka dan memperbanyakkan lagi kesibukan ke atas kesibukan mereka yang sedia ada, dan kelakuan  itu seperti perbuatan golongan jahiliyyah.[10]
Tetapi dalam mazhab Hanbali ini ada pengecualiannya, iaitu jika terpaksa ahli si mati membuat makanan kepada orang yang datang dari perkampungan atau dari tempat-tempat yang jauh untuk menziarahi mayat, dan mereka terpaksa bermalam di rumah mereka (ahli si mati), maka tidak dapat tidak ahli si mati terpaksa menerima mereka sebagai tetamu, maka pada ketika itu hukumnya boleh memberi mereka makan.
Ø
Pendapat
Mazhab Hanafi:
ويكره اتخاذ الضيافة من
الطعام من اهل الميت ، لأنه شرع فى السرور ولا فى الشرور، وهي بدعة مستقبحة . فقد
روي الإمام احمد وابن ماجة بإسناد صحيح عن جرير بن عبدالله قال:”كنا نعد
الإجتماع إلى اهل الميت وصنعهم الطعام من النياحة”.
Maksudnya:
Hukumnya adalah makruh ahli si mati menerima tetamu dengan memberi makan kepada mereka, kerana yang demikian itu hanya disyarakkan pada waktu gembira, bukan
pada waktu tidak baik (waktu sedih selepas kematian), dan ianya suatu bid’ah yang keji. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal dan Ibnu Majah dengan sanad yang sahih dari Jarir Bin Abdullah r.a, katanya: “Kami mengira perhimpunan kepada keluarga si mati dan mereka membuat makanan (untuk dijamu kepada orang yang berhimpun itu) adalah dari ratapan kematian.”[11]
 Hujah Dari Kitab-kitab Jawi
Selepas pembentangan pendapat ulama dari empat mazhab, penyusun bentangkan pula pendapat ulama kita dalam Mazhab Syafie yang ditulis dalam bahasa Melayu lama tulisan jawi. Ulama besar yang berkemampuan tinggi di dalam agama dan bahasa Arab ini banyak mengarang kitab-kitab agama dalam bahasa Melayu tulisan jawi. Kebanyakan kitab-kitab karangan mereka menjadi rujukan utama kepada penuntut-penuntut di madrasah-madrasah pondok pada zaman dahulu dan malah sehingga sekarang.
Kitab Furu’ Al–Masaail:
Antara lain yang dijelaskan di dalam kitab ini ialah:
Hukumnya makruh, dicela oleh syarak, amalan yang dibuat oleh orang ramai apa yang dinamakan kifarah danwahsyah)[12].Iaitu berkumpul dan berhimpun serta memberi makan kepada orang ramai pada malam pertama selepas dikebumikan mayat, berhimpun dan memberi makan pada tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan seumpamanya.
Teks atau nas asalnya berbunyi, “Dan demikian lagi yang dikerjakan manusia dengan barang yang dinamakan dia dengan kafarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh harinya dan dua puluh dan empat puluh dan umpamanya, yang demikian itu haramkah atau makruh atau harus. (Maka dijawabnya) maka adalah segala yang tersebut makruh yang dicela pada syarak kerana tegah pada syarak kata Syeikh Ibnu Hajar tiada sah wasiatnya).[13]
Dari kitab Sabil Al-Muhtadin:
Ringkasan dari kitab ini ialah:
1) Hukumnya bid’ah dan makruh jika dibuat kenduri makan selepas kematian dan dijemput orang ramai supaya memakan makanan itu, samada jamuan itu dari sebelum mayat dikebumikan atau selepas dikebumikan.
2) Juga hukumnya makruh dan bid’ah kepada sesiapa yang menerima jemputan itu dan menghadirinya.
Nas asalnya berbunyi: “Dan makruh lagi bid’ah bagi yang kematian memperbuat makanan yang diserukannya manusia atas memakan dia dahulu daripada menanam dia dan
kemudian daripadanya seperti yang telah teradat dan demikian lagi makruh lagi bid’ah bagi segala mereka yang diserunya perkenankan seruan.”[14]
Dari kitab Kasyfu Al-Lithsam:
Ringkasan dari kitab ini ialah:
1)Hukumnya makruh, dicela oleh syarak, apabila ahli si mati memberi makan kepada orang ramai sebelum atau selepas pengebumian mayat.
2)Hukumnya makruh, dicela oleh syarak, membuat penyembelihan di kubur.
3)Hukumnya makruh, dicela oleh syarak, apa yang dinamakan kafarah dan wahsyah iaitu berhimpun dengan memberi makan kepada orang ramai pada malam pertama selepas pengkebumian mayat, tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan seumpamanya seperti yang tersebut.
Nas atau teks asalnya berbunyi: “Barang yang dikerjakan oleh ahli mayat daripada mempersembahkan makanan dan perhimpunan manusia atas dahulu daripada tanam mayat dan kemudian lagi dikerjakan oleh manusia dengan barang yang dinamakan dengan kifarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam
kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh hari dan dua puluh hari dan empat puluh hari dan umpamanya yang demikan itu yang diperbuat oleh kebanyakan orang itu maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela oleh syarak kerana tegah pada syarak.”[15]
Dari kitab Bughyatu Al-Thullab:
Ringkasan dari kitab ini antara lain ialah:
1)Sunat kepada jiran si mati, kepada kawan kenalan keluarga si mati dan kepada kaum kerabat yang jauh, membuat dan membawa makanan kepada ahli si mati yang boleh mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya.
2)Hukumnya makruh dan bid’ah jika ahli si mati membuat makanan dan menjemput orang ramai supaya memakannya, samada sebelum atau selepas pengebumian mayat.
3)Hukumnya bid’ah yang buruk lagi makruh jika diamalkan oleh orang ramai apa yang dinamakan kafarah danwahsyah iaitu perhimpunan dengan memberi makan kepada orang ramai selepas pengebumian mayat, tujuh hari, empat puluh hari dan seumpamanya seperti yang tersebut.
4)Asal sunat memberi makan ialah memberi makan kepada ahli si mati, bukan keluarga si mati menjamu makan kepada orang lain, kerana sabda Nabi SAW: “Buatlah kamu makanan kepada ahli Ja’far, sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka.”
Teks asal kitab ini berbunyi: “Dan sunat bagi jiran keluarga mayat dan orang yang berkenalan dengan keluarganya, jikalau bukan jirannya sekalipun, dan segala kerabatnya yang jauh, membawa makan makanan akan orang yang kematian yang mengenyangkan mereka itu pada hari dan malamnya (serta) menyungguh-nyungguh akan mereka itu suruh memakan kerana mereka itu terkadang meninggal akan memakan sebab sangat terkejut hati mereka itu……
Dan makruh lagi bid’ah bagi orang kematian memperbuat makanan menserukan (menyerukan) segala manusia atas memakan dia, samada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah diadatkan kebiasaan manusia. Demikian lagi makruh lagi bid’ah bagi segala orang yang diserukan dia memperkenankan seruannya.”
Dan setengah daripada yang qobihah (keburukan) lagi makruh mengerjakan dia barang yang dikerjakan kebiasaan manusia barang dimakan dengan kafarah dan wahsyah dan tujuh hari dan empat puluh dan umpamanya yang demikian itu…
Adapun asal sunat menyediakan makanan itu pada barang yang dahulunya sabda Nabi SAW, “Tatkala datang khabar kematian Saidina Ja’far bin Abu Thalib pada perang Mu’tah, perbuat oleh mu bagi keluarga Ja’far makanan maka sesungguhnya telah datang akan mereka itu barang yang membimbangkan mereka itu.”[16]
 Dari kitab Bahru Al-Mazi:
Ringkasan yang diambil dari kitab ini mengenai tajuk berkenaan antara lain seperti berikut:
a) Ahli si mati (isteri/suami, anak-anaknya) memasak makanan dan menghimpun orang ramai  dan menjamu makanan kepada mereka, maka amalan itu tidak ada sedikit pun sandaran riwayat yang boleh di pegang dan diikuti dari Nabi SAW dan dari sahabatnya.
b) Hukumnya bid’ah dan makruh jika ahli si mati memasak dan mengumpulkan orang ramai dan menjamu makanan itu kepada mereka kerana berpandukan kepada hadis Jarir Bin Abdullah r.anhma katanya “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengebumian mayat adalah daripada perbuatan ratapan kematian”.
c) Sunat kepada kaum kerabat si mati dan jiran tetangganya memasak atau membuat makanan dan diberi makan kepada ahli si mati yang boleh mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya dan berkata Imam Syafie rhm.“Aku suka kepada kerabat si mati dan jiran tetangganya memasak makanan kepada ahli si mati yang mencukupi sehari semalam kerana ianya sunat dan perbuatan golongan yang baik-baik).[17]
 Kesimpulan
Adat kebiasaan menjemput, menghimpun orang ramai dan memberi makan kepada mereka oleh ahli si mati sebelum atau selepas pengebumian mayat telah menjadi agenda utama kepada sebahagian masyarakat kita selepas berlaku kematian. Adat seperti ini ini perlu dihapuskan dengan segera supaya tidak bertapak lagi, kerana ia bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW dan sunnah sahabatnya. Sesetengah rakan-rakan kita yang tidak peka dengan sunnah Nabi SAW sanggup mendakwa bahawa masalah ini adalah termasuk perkara yang remeh dan tidak penting. Persoalannya ialah: Apakah perbelanjaan melibatkan beratus malahan beribu ringgit kepada tempat yang bid’ah dan makruh itu termasuk perkara yang remeh-temeh?
Semua ajaran Islam adalah penting dan memberikan mizan (timbangan) di akhirat nanti. Oleh itu hendaklah kita masuk ke dalam ajaran Islam semuanya, tanpa menerima separuh dan menolak separuh yang lain. Ulama silam telah bersepakat kata, termasuk ahli fuqaha’ dari empat mazhab bahawa:
a) Makruh dan bid’ah apabila ahli si mati memasak dan menjamu makanan kepada orang ramai yang berhimpun di rumah mereka.
b) Sunat dan digalakkan kepada jiran tetangga  dan kepada kaum kerabat si mati memasak dan memberi makan kepada ahli si mati, bukan mereka (ahli si mati) yang menjamu makanan kepada jiran dan orang ramai.
c) Perhimpunan kenduri memberi makan pada malam pertama selepas kematian, tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan seumpamanya semuanya itu hukumnya makruh dan dicela oleh syarak. Amalan dan perbuatan itu dinamakan “ كفارة   dan  وحشة.”
Setakat pembacaan penyusun dalam tajuk ini, tidak ditemui seorang ulama pun yang hukumnya sunat bagi ahli si mati memberi makan kepada orang ramai selepas berlaku kematian sebagaimana yang telah teradat dalam masyarakat kita bahkan semuanya mengatakan bid’ah dan makruh, termasuk ulama-ulama besar dari Mazhab Syafie seperti Imam Nawawi, Imam Shirazi, Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathoni, Syeikh Muhammad Abdullah Al-Banjari dan lain-lain lagi.
Kita merasa aneh dan hairan apabila dituduh dan dicopkan kaum muda ke atas orang yang menyebarkan pendapat-pendapat kibar al-ulama (ulama agung) silam
termasuk ulama mujtahidin dari empat mazhab yang menyatakan bid’ah dan makruh apabila ahli si mati berhimpun dan memberi makan kepada orang ramai dan juga mengatakan bid’ah dan makruh bagi mereka yang menyahut seruan dan panggilannya.
Soalannya siapakah sebenarnya yang didakwa sebagai kaum muda?
Adakah mereka yang mempertahankan pendapat-pendapat dari ulama tersebut? Atau adakah kaum muda yang sebenar ialah mereka yang mempertahankan adat istiadat itu dan membelakangkan pendapat ulama-ulama berkenaan tanpa berpegang kepada dalil-dalil yang benar dan kukuh.
Imam Ishaq Ibrahim As-Syirazi umpamanya (wafat pada tahun 477 hijriah bersamaan 1083 masihi) demikian juga kibarul ulama yang lain termasuk Syeikh Daud Abdullah Al-Fathoni dan Syeikh Muhammad Bin Abdullah Al-Banjari, semuanya hidup pada zaman lampau. Oleh itu tidak masuk akal kalau mereka dilabelkan sebagai kaum muda atas alasan berlawanan dengan kehendak dan adat masyarakat Islam.
Ada juga di antara pensyarah-pensyarah agama dan pendakwah yang membela adat istiadat seperti itu dan mendakwa hukumnya adalah sunat bagi keluarga  si mati membuat kenduri kepada roh si mati dengan memberi makan kepada orang ramai selepas majlis tahlil diadakan. Mereka bukan sahaja menggalakkan masyarakat Islam supaya meneruskan amalan tersebut malahan juga menuduh mana-mana pihak yang mendedahkan hukum sebenar masalah itu sebagai orang yang berjalan tanpa haluan dan arah atau sebagai orang yang tidak mempunyai ilmu yang cukup.
Ada pula di antara mereka yang mengatakan bahawa masalah ini sudah selesai, kerana ia telah dijawab oleh tok guru itu dan pak lebai ini, dan bermacam-macam lagi kata-kata yang memberi sokongan ke arah mengekalkan tradisi dan adat berkenaan.
Jawapannya, kami bukannya mengeluarkan fatwa dan menciptakan hukum baru, tetapi kami hanya memaparkan dan mendedahkan ketetapan hukum yang telah di putuskan oleh kibarul ulama dan ulama-ulama mujtahidin mengenai bid’ah dan makruh apabila ahli si mati berhimpun dan memberi makan kepada orang ramai selepas kematian.
Pada hemah kami, kalau dibandingkan ilmu antara kami dengan Syeikh Daud Bin Abdullah Al- Fathoni pun jaraknya beribu batu. Sebab itulah kami berpegang teguh dengan ketetapan hukum yang telah ditetapkan oleh mereka itu kerana kami yakin mereka mempunyai ilmu yamg melaut luasnya, dengan dalil-dalil dan hujah-hujah yang dibentangkan oleh mereka amat teguh dan tidak dapat dipertikaikan.
Apakah mereka yang masih berpegang dengan adat istiadat mempunyai dalil-dalil yang tidak dijumpai oleh ulama mujtahidin itu? Adakah hujah yang dipegang oleh mereka lebih kuat daripada hujah yang dipegang oleh ulama mujtahidin?
Sanggupkah kita membatalkan hukum bid’ah dan makruh yang ditetapkan oleh mereka untuk diganti dengan hukum sunat, sedangkan kita tidak mempunyai dalil-dalil yang kukuh. Keputusan oleh ulama mujtahidin bukan boleh dijawab dengan sewenang-wenang seperti jawapan yang kita kemukakan kepada rakan sebaya kita. Kita tidak boleh menolak keputusan mereka itu dengan sebarang alasan sahaja, kerana selain dari dalil-dalil naqliyang telah disebut itu, ulama mujtahidin banyak mengemukakan kepada kita dalil-dalil aqli yang sangat munasabahdan logik, antaranya:
1-         Menghimpunkan orang ramai dan memberi makan kepada mereka oleh ahli si mati adalah tidak kena pada tempatnya yang layak dan munasabah, dan ianya dicela oleh syarak.
2-      Ahli si mati membuat makanan untuk diberi makan kepada orang ramai menambahkan lagi musibah mereka dan memperbanyakkan lagi kesibukan mereka diatas kesibukkan yang telah sedia ada, dan perbuatan itu seperti kelakuan golongan jahiliah.
3.         Hukumnya makruh dan bid’ah yang buruk apabila ahli si mati menerima tetamu dengan memberi makan kepada mereka, kerana penerimaan tetamu dengan memberi makan hanya disyarakkan semasa dalam kegembiraan, bukan semasa bermuram dan bersedih, kecuali jika tetamu itu datang dari tempat yang jauh dan terpaksa bermalam di rumah keluarga si mati untuk menziarahi mayat. Ketika itu sahaja dibolehkan untuk memberi makan.
 Cadangan:
1-         Apabila berlaku suatu kematian di dalam keluarga umat Islam, disarankan supaya mengelak daripada terikut-ikut dengan adat kebiasaan memasak dan memberi makan kepada orang ramai, sama ada sebelum atau selepas pengebumian mayat.
2-         Hendaklah menjauhkan diri dari melakukan amalan yang dinamakan kafarah dan wahsyah iaitu berhimpun untuk memberi makan kepada orang ramai pada malam pertama selepas pengebumian mayat, tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan seumpamanya.
3-         Hentikan helah atau muslihat, ta’wil dan kias yang tidak sihat dengan pelbagai cara bagi mengekalkan unsur-unsur bid’ah selepas kematian.
4-         Diharapkan mendapat kerjasama umat Islam dari semua pihak, terutama dari bijak pandai Islam, bagi menghapuskan unsur-unsur bid’ah tersebut.
5-         Dicadangkan segala derma takziah yang diterima oleh keluarga si mati diinfaq atau dibelanjakan pada sedekah-sedekah jariah untuk roh si mati, seperti membina masjid, membangunkan sekolah-sekolah pendidikan Islam, pusat-pusat tahfiz al-Quran dan sebagainya. Derma takziah itu juga boleh disumbangkan kepada segala jenis “fi sabilillah”.
6-         Dicadangkan kepada masyarakat Islam pada semua peringkat agar dapat menukarkan bid’ah itu dengan al-sunnah dari Nabi SAW dan sahabat, iaitu jiran, kaum kerabat yang jauh dan sahabat handai kepada ahli si mati yang jauh dan sahabat handai kepada ahli si mati memberi makan  epada mereka apabila berlaku sesuatu kematian.
7-         Diharapkan setiap muslim dan muslimah menjadi agen penyebaran (dakwah) maklumat ini kepada masyarakat kita.
Sekali lagi perlu diulang bahawa risalah (tulisan penulis) ini bukan dari pendapat penyusun untuk menetapkan suatu hukum baru dan jauh sekali daripada mengeluarkan fatwa. Tulisan ini tidak lain kecuali sekadar mendedahkan pendapat-pendapat ulama muktabar dan ulama mujtahidin mengenai bid’ah dan makruh pada apa yang di lakukan oleh ahli si mati selepas berlaku kematian.
Diharapkan semoga usaha yang sedikit ini mendapat keredhaan Allah SWT dan moga-moga bermanfaat pada hari yang tidak berfaedah lagi segala  harta dan anak-pinak, Astaghrfirullahhalazim, wallahua’lam.