Pengikut

Rabu, 8 Mei 2013

Bekerja Tanpa Meninggalkan Tuntutan Agama

Setiap hari kita bertungkus lumus mencari rezeki bagi memenuhi keperluan hidup seharian. Ada yang bekerja bagi memenuhi keperluan asas. Ada yang bertungkus lumus bekerja untuk menikmati kesenangan dan kemewahan hidup.
Anda merupakan golongan yang mana? Sudah tentu anda tahu jawapannya. Dalam kesibukan mencari rezeki dan mengejar kemewahan, jangan kita alpa dan lalai dari mengingati-Nya, jangan kita lupa tuntutan yang lebih utama iaitu mengerjakan perintah agama dan mengejar kemewahan di akhirat kelak. Inilah tujuan utama manusia dihidupkan di muka bumi Allah SWT.  Berikut adalah beberapa tips untuk bekerja tanpa meninggalkan tuntutan agama:

1) Memasang niat yang baik
Sedang mengajar pelajar-pelaja Pondok Bantan di Thailand
• Keluar mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga kerana Allah SWT. Hati akan menjadi tenang sepanjang waktu bekerja jika dimulai dengan niat yang baik dan semata-mata kerana-Nya. Firman Allah SWT dalam Surah Al-An'am ayat 162 yang bermaksud:
"Katakanlah Muhammad, "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan seluruh alam."
• Sesungguhnya adalah menjadi rugi sekiranya kita keluar bekerja setiap hari mencari nafkah untuk isteri, anak-anak, dan keluarga  jika tidak berniat bekerja sebagai ibadah. Alangkah baiknya jia kita berniat keluar bekerja kerana Allah, kita pasti mendapat pahala sepanjang bekerja dan mendapat rezeki yang berkat.

2) Jujur dan amanah semasa bekerja
• Ini juga merangkumi penggunaan waktu bekerja. Kita hendaklah memaksimumkan waktu bekerja dengan sebaik-baiknya seperti mengelakkan diri kita keluar menikmati sarapan pagi dan makan tengahari yang terlalu lama. Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh, jujur dan amanah agar kerja yang dilaksanakan selesai dan rezeki yang diterima diberkati.
• Bekerja dengan bersungguh-sungguh bermaksud melakukan kerja di tempat kerja sehabis baik. Orang yang gagal dalam melakukan kerja tidak akan berputus asa sekiranya ada kesungguhan semasa bekerja. Bekerjalah bersungguh-sungguh supaya kerja yang kita lakukan seharian akan memberi manfaat kepada orang lain. Orang yang baik adalah orang yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.

3) Membasahkan lidah dengan zikir dan doa semasa bekerja
• Ketika kita sibuk bekerja, pastikan dalam masa yang sama hati dan lidah juga turut seiring berzikir kepada Allah SWT. Perkara tidaklah susah untuk dilakukan, cuma ia perlu sentiasa diamalkan dan dibiasakan agar ia menjadi sebati dalam tindakan kita. Di samping itu, kita juga dituntut mengamalkan Solat Sunat Dhuha untuk memohon keberkatan dari-Nya dan mohon dimurahkan rezeki yang halal lagi baik.
 
4) Tidak melengahkan solat fardhu
• Solat fardhu merupakan salah satu daripada Rukun Islam dan merupakan tiang agama. Jika kita amati, terdapat sebilangan manusia yang terlalu sibuk bekerja sehingga tidak sedar waktu solat berlalu begitu sahaja bahkan yang lebih teruk lagi langsung tidak menunaikan solat fardhu. Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan ini. Sesungguhnya, kita tidak boleh menunggu waktu lapang tetapi kita yang perlu melapangkan waktu untuk menunaikan tuntutan solat fardhu. Ingatlah, dalam kesibukan kita menjalankan tanggungjawab terhadap kerja dan memenuhi kehendak majikan, jangan sesekali ingkar dan lalai akan perintah-Nya. Sesungguhnya, Allah SWT adalah majikan kepada seluruh manusia.
 

5) Menggunakan gaji atau upah ke jalan yang baik
• Kita hendaklah membelanjakan gaji atau upah yang diterima dengan sebaik mungkin. Manfaatkanlah gaji atau upah yang diterima dengan bijak untuk menyara diri dan keluarga, membantu ibu bapa, membayar zakat dan simpanan di masa memerlukan. Di samping pastikan diri kita tidak lupa peruntukkan sebahagiannya untuk bersedekah kepada orang yang memerlukan dan ke jalan-jalan kebaikan. Sesungguhnya rezeki yang kita terima itu adalah milik Allah SWT dan Allah pasti akan memberikan ganjaran kepada setiap kebaikan yang kita lakukan, Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa' ayat 132 yang bermaksud :
"Dan kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan apa yang di bumi. Cukuplah Allah sebagai pemelihara."
Mudah-mudahan rezeki yang diterima akan menjadi halal lagi baik berkat usaha kita yang sentiasa bekerja tanpa meninggalkan tuntutan agama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang melihat kemungkaran di depannya, maka ubahlah dengan tangannya, dan jika tiada kemampuan ubahlah dengan lidahnya, dan jika tiada kemampuan, ubahlah dengan hati, dan inilah selemah-lemah iman."
Semoga artikel ini dapat mengingatkan diri penulis dan semua pembaca untuk memperbaiki diri kita semasa melakukan kerja tanpa meninggalkan tuntutan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan